Terkena batang hidung sendiri baru nak menyesal!

Perbuatan membuat panggilan palsu tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pihak kerana boleh mengganggu operasi menyelamat. Gambar hiasan
Perbuatan membuat panggilan palsu tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pihak kerana boleh mengganggu operasi menyelamat. Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan geleng kepala apabila membaca berita mengenai lebih 100 panggilan palsu yang diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Kelantan kononnya meminta diselamatkan atau terperangkap dalam banjir.

Bagi Merak Jalanan, perbuatan tidak bertanggungjawab ini menambahkan lagi tekanan pasukan keselamatan kita yang berdepan kesukaran dan cabaran.

Merak Jalanan tidak dapat bayangkan bagaimana anggota penyelamat kita kecewa apabila bersusah payah bergegas ke tempat untuk menyelamatkan orang, rupa-rupanya hanya ‘pembohongan’ semata-mata.

Perbuatan membuat panggilan palsu tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pihak kerana boleh mengganggu operasi menyelamat, menyebabkan mangsa yang sebenar berdepan bencana lambat untuk diselamatkan, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan atau kematian.

Bagi mereka yang hobinya suka membuat panggilan palsu, tahukah anda bahawa ia merupakan satu kesalahan serius dan boleh didakwa di bawah Seksyen 233 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Merak Jalanan nak ingatkan semua orang supaya memainkan peranan untuk memastikan saluran kecemasan digunakan dengan bertanggungjawab.

Bukan sahaja ketika banjir, malah bencana-bencana lain seperti kebakaran dan kemalangan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, hentikan perbuatan yang tidak berfaedah itu yang bagi Merak Jalanan, ia bukan sesuatu perbuatan ‘nakal’, sebaliknya perbuatan ‘jahat’.

Bayangkan disebabkan perbuatan jahat itu, ada mangsa yang lebih memerlukan tidak dapat diselamatkan kerana anggota penyelamat sudah pergi ke lokasi lain.

Cuba kalau terkena batang hidung sendiri, barulah menyesal!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!