Bantu bina bangunan tahfiz tertangguh
KUALA SELANGOR - Seramai 60 pelajar dan kakitangan Maahad Tahfiz Ar Ruqaiyah di Jeram terpaksa menggunakan bangunan sedia ada yang hanya mampu menampung 40 pelajar.
Pengerusi Maahad Tahfiz Ar Ruqaiyah, Mohd Fetri Al Hafiz berkata, keadaan itu memaksa maahad tahfiz meminta pelajar perempuan belajar di rumah sewa sebagai penyelesaian jangka pendek.
Menurutnya, pihak tahfiz menerima sebidang tanah seluas 0.8 hektar diwakafkan penduduk kampung kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan akan digunakan untuk membina kompleks tahfiz sebagai penyelesaian jangka panjang.
“Sebagai permulaan, bangunan asrama dibina tetapi masih tertangguh kerana kekurangan dana.
“Justeru, pihak maahad mempelawa orang ramai menyumbang dana wakaf bagi menyiapkan bangunan kelas hafazan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mohd Fetri berkata, satu lot sumbangan dibuka serendah RM20 dan seikhlasnya untuk semua pihak berpeluang mengambil bahagian demi pendidikan generasi hufaz yang akan datang.
Katanya, pembinaan bangunan bermula pada 2021 dan dijangka siap pada 2025.
“Setakat ini, projek mencapai 40 peratus kemajuan dan dana yang terkumpul sebanyak RM40,000 daripada sasaran RM200,000 untuk tujuan pembinaan.
“Kami memerlukan sokongan untuk merealisasikan pembinaannya dan berharap lebih ramai akan menyertai usaha ini untuk mendapat ganjaran pahala wakaf dalam membantu menyempurnakan kemudahan pembelajaran bagi pelajar,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan ke Bank Islam di akaun bernombor 1216 8010 0451 79 atas nama Maahad Tahfiz Ar Ruqaiyah atau boleh hubungi Mohd Fetri di talian 019-336 5649.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!