Fiqh solat ketika banjir
Kewajipan solat tidak gugur, namun Islam beri keutamaan untuk menjaga diri dan nyawa terlebih dahulu ketika ditimpa bencana
SALAH satu fenomena alam yang sering berlaku setiap tahun di negara kita adalah kejadian banjir dan kebiasaannya berlaku pada musim tengkujuh atau disebut juga banjir monsun.
Persoalan yang sering kali ditanya apabila tibanya musim banjir ialah apakah boleh menunaikan solat di dalam air?Bagaimanakan cara untuk sujud sekiranya tempat tersebut turut digenangi air?
Bagi merungkai persoalan yang timbul, Sinar Islam Plus menemu bual Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Selangor (UIS), Ustaz Mohd Rasyidi Ali.
Beliau terlebih dahulu menjelaskan, air banjir merupakan air mutlak kerana kuantitinya yang banyak melebihi sukatan dua qullah atau satu suku hasta padu.
“Hukum bersuci dengan air banjir adalah dibolehkan dan jika airnya di suatu kawasan itu jelas tercemar dengan najis seperti bau, rasa atau berubah warna, maka ia tidak boleh digunakan untuk bersuci.
“Bagaimanapun, kita masih boleh menggunakan air banjir di kawasan lain yang tidak tercemar untuk bersuci,” katanya sebagai pembuka kalam.
Jelasnya, air banjir yang kelihatan agak keruh masih dianggap suci kerana perubahan warna tersebut adalah secara semula jadi dan bukannya dengan perbuatan manusia yang mencampurkan sesuatu ke dalamnya.
Tetap wajib solat ketika banjir
Menjawab persoalan solat di dalam air terutamanya ketika banjir, ahli akademik itu menjawab, dibenarkan melakukan solat di dalam air jika seseorang itu berada dalam situasi darurat atau keuzuran.
“Sebagai contoh, situasi banjir yang masuk ke dalam rumah (satu tingkat) dan tiada tempat yang kering untuk bersolat, maka ia dibolehkan.
“Ini bertepatan dengan prinsip syariah yang meringankan kesulitan iaitu ad-darurah tubihu al-mahzurat,” hurainya.
Jika paras air terlalu tinggi sehingga tidak memungkinkan untuk sujud secara biasa, ujarnya, perbuatan sujud itu boleh dilakukan dengan menundukkan kepala sebagai isyarat sujud.
“Ini berdasarkan kaedah solat bagi orang yang tidak mampu melakukannya dengan sempurna,” jelasnya lagi.
Jamak solat
Menjawab persoalan jamak solat ketika dilanda banjir, Ustaz Mohd Rasyidi menjelaskan, solat fardu merupakan kewajipan yang mempunyai waktu yang telah ditetapkan syarak secara muwassa’ iaitu luas waktunya.
“Solat boleh ditunaikan pada bila-bila masa selagi ia dalam waktunya walaupun keutamaannya adalah ditunaikan pada awal waktu.
“Kelonggaran untuk menjamak solat (menghimpunkan dua solat dalam satu waktu) hanya diberikan kepada individu yang menghadapi kesulitan atau kesukaran yang tidak dapat dielakkan sahaja.
“Situasi mangsa banjir yang ditempatkan secara beramai-ramai di pusat pemindahan sementara (PPS) yang mempunyai keperluan asas seperti air, makanan dan pakaian dilihat tidak menyukarkan mereka untuk melaksanakan solat pada waktunya,” jelasnya.
Ujarnya lagi, bahkan menjadi satu kelebihan untuk mereka berkumpul melaksanakan solat secara berjemaah di pusat pemindahan itu.
“Justeru sangat penting bagi umat Islam menunaikan solat dalam waktunya bagi menzahirkan ketaatan seorang hamba kepada ALLAH SWT terutamanya pada waktu berhadapan dengan ujian banjir ini.
“Namun begitu, mangsa atau petugas banjir dibolehkan solat jamak ketika dalam situasi mendesak seperti untuk menyelamatkan diri, keluarga dan juga harta daripada musnah.
“Dalam situasi ini, digalakkan bagi mereka untuk memilih kaedah jamak taqdim berbanding jamak ta’khir,” hurainya.
Tidak gugur kewajipan solat Jumaat
Berbicara mengenai kewajipan solat Jumaat bagi golongan lelaki yang menjadi mangsa banjir, beliau menjelaskan, hukum solat Jumaat adalah wajib ke atas lelaki Muslim yang mukallaf dan bermukim (tidak bermusafir).
“Justeru, lelaki yang telah memenuhi syarat wajib tersebut wajib berusaha mengerjakan solat Jumaat di masjid atau surau Jumaat yang berhampiran sekiranya tiada halangan.
“Jika terdapat kesulitan untuk sampai ke masjid, PPS perlu mengambil inisiatif menghubungi Jabatan Mufti di negeri masing-masing untuk mendapatkan kelulusan solat Jumaat di pusat tersebut,” katanya.
Sebagai penutup, pensyarah itu menasihatkan umat Islam terutamanya mangsa banjir agar tetap menjaga kewajipan solat yang telah ditetapkan ALLAH SWT terhadap setiap Muslim walaupun ditimpa dengan ujian bencana alam itu.
Bagaimanapun selain itu, katanya, umat Islam juga tetap wajib menjaga aurat dan batasan pergaulan mengikut kemampuan.
“Islam memberi kelonggaran hanya dalam situasi yang benar-benar mendesak dan tidak membenarkan kelalaian dalam penjagaannya.
“Prinsip Maqasid Syariah juga menekankan keutamaan menjaga kehormatan (hifz al-ird),” katanya.
Beliau menyarankan mangsa banjir untuk:
1 - Memakai pakaian yang sesuai bagi setiap aktiviti yang dilakukan dalam usaha menjaga batas aurat.
2 - Berusaha mengelakkan situasi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram sekiranya tiada keperluan.
3 - Mengelakkan bersentuhan antara bukan mahram tanpa keperluan.
4 - Lebih berhati-hati daripada melakukan sesuatu yang boleh mengundang kemurkaan ALLAH SWT ketika dalam bencana banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!