Polis sahkan terima laporan murid dipukul guru
JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Polis mengesahkan menerima laporan berhubung seorang murid berusia 10 tahun yang didakwa dipukul oleh guru sekolahnya.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, kejadian itu dipercayai berlaku pada Khamis, di makmal komputer sebuah sekolah di Jalan Abdul Rahman Andak, di sini.
"Polis telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun berhubung kejadian seorang pelajar lelaki berusia 10 tahun telah dipukul oleh seorang guru.
"Akibatnya, pelajar tersebut mengalami lebam dan sakit di bahagian pipi kanan.
"Siasatan akan dijalankan setelah permohonan perintah untuk menyiasat (OTI) diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.
Tambah Raub, punca kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis akan mengambil keterangan daripada saksi-saksi terlibat bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga satu tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Raub berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus talian hotline IPD Pejabat Polis Daerah, Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.
Sementara itu, Exco Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, pihaknya mengambil maklum berkaitan isu berkenaan.
"Mengikut maklumat diperoleh dari Jabatan Pendidikan Negeri, isu berkenaan masih dalam perbincangan antara sekolah terbabit dan pusat jagaan yang dihuni murid itu.
"Ia bagi mendapatkan gambaran jelas apa yang berlaku," katanya ketika dihubungi hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!