Hafiz al-Quran dilatih berani berbahasa Arab
Misi MABIQ lahirkan lebih ramai generasi huffaz dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa
ALANGKAH ruginya jika diri mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran dengan fasih dan lancar, tetapi tidak boleh bertutur dalam bahasa Arab sedangkan kalamullah itu diturunkan dalam bahasa tersebut.
Lantaran itu, pelajar di Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran (MABIQ) yang terletak di Kuantan, Pahang diajar untuk bercakap dalam bahasa al-Quran seawal tingkatan satu.
Mudirah MABIQ, Ustazah Umee Ruziani Ab Ghani menjelaskan, bahasa Arab menjadi bahasa pertuturan utama di sekolah itu sejak ditubuhkan pada 2007.
"Tidak ramai boleh berbahasa Arab walaupun lepasan sekolah agama jika tidak dibiasakan untuk bertutur sebegitu.
"Bagi tujuan ini, MABIQ melabur untuk mendapatkan guru dari Indonesia dan Mesir yang pakar dalam kaedah pengajaran bahasa Arab supaya pelajar kami berani serta yakin bercakap Arab," katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, jelas Ustazah Umee Ruziani, pelajar MABIQ turut diajar subjek akademik dan mengambil peperiksaan awam seperti Sijil Menengah Agama, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.
"Sejak ditubuhkan, MABIQ melahirkan hampir 100 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sama ada di dalam mahupun luar negara antaranya di Mesir dan Jordan," katanya yang mengendalikan 88 pelajar termasuk golongan asnaf dari tingkatan satu hingga enam ketika ini.
Bermula dengan tiga pelajar pada awal penubuhannya dan beroperasi di rumah, ujar Ustazah Umee Ruziani, MABIQ kemudian berpindah pada 2013 lantaran sambutan menggalakkan dan pertambahan bilangan pelajar hingga pernah mencecah 200 orang.
Dalam pada itu, Ustazah Umee Ruziani turut melancarkan peluang kepada orang ramai untuk beramal jariah dengan MABIQ bagi membantu baik pulih kerosakan di maahad itu serendah RM10.
Menurutnya, pihaknya memerlukan sejumlah RM250,000 untuk tujuan kos pembaikan meliputi pemasangan pagar sekeliling maahad; tandas; membaiki dan membesarkan kelas pengajian tahfiz serta akademik.
Di samping itu, katanya, sumbangan itu juga digunakan untuk menyelenggara tangki septik sistem kumbahan, gril dan menambah baik atap surau yang bocor.
"Inilah peluang orang ramai untuk memperoleh pahala berterusan sebagaimana disebut dalam hadis-hadis masyhur dengan menyumbang sambil beramal jariah demi keselesaan dan keselamatan anak-anak tahfiz.
"Apatah lagi di MABIQ, kira-kira 20 peratus daripada pelajarnya terdiri daripada golongan asnaf yang hanya membayar yuran mengikut kemampuan masing-masing," katanya.
Sumbangan boleh disalurkan kepada akaun Maybank atas nama Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quraan, 5560 1101 1889.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Ustaz Uwais di talian 013-8939457 atau pejabat MABIQ,010-4516309.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!