AGC tolak permohonan ibu bapa Zayn Rayyan batal kes abai anak

Jabatan Peguam Negara menolak representasi ibu bapa Zayn Rayyan untuk membatalkan pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu pada Jumaat.
Jabatan Peguam Negara menolak representasi ibu bapa Zayn Rayyan untuk membatalkan pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu pada Jumaat.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin untuk membatalkan satu pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata, peguam lama yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf telah menghantar representasi itu pada 19 November lalu.

“Hari ini merupakan prosiding sebutan kes bagi keputusan permohonan yang difailkan peguam terdahulu bagi pihak tertuduh.

“Keputusan representasi itu ditolak dan saya telah memaklumkannya kepada peguam yang baru dilantik,” katanya di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Susulan itu beliau memohon mahkamah menetapkan satu lagi tarikh pengurusan kes bagi mengemaskini semua dokumen sebelum perbicaraan dimulakan.

Katanya, sebelum ini mahkamah menetapkan pada 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 dan 17 hingga 21 Februari tahun hadapan untuk tarikh perbicaraan.

Bagaimanapun, peguam, Haresh Mahadevan memohon mahkamah melapangkan tarikh bicara yang ditetapkan pada bulan hadapan kerana perlu menghadiri prosiding bagi kes lain.

Beliau mencadangkan, mahkamah menetapkan tarikh tambahan bulan Mac tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, peguam ini turut memohon pihak pendakwaan mengemukakan baki dokumen lain termasuk cakera padat (CD) kepada pasukan pembelaan.

“Terdapat laporan forensik yang masih belum diserahkan kepada kami, yang mana ia berkait laporan bedah siasat mangsa bagi tujuan analisis,” katanya.

Raja Zaizul Faridah kemudiannya menjawab, CD tersebut belum diserahkan kerana ia masih berada bersama pihak forensik.

Katanya, mereka akan menyerahkan CD terbabit termasuk dokumen lain sekiranya ada, sebelum tarikh sebutan kes akan datang.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Syahliza menetapkan sebutan semula kes bagi baki serahan dokumen pada 10 Januari 2025.

Beliau turut mengarahkan semua dokumen termasuk CD dan laporan forensik diberikan kepada pihak pembelaan sebelum sebutan kes itu.

“Mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan pada 20 hingga 24 Januari 2025 dan perbicaraan akan bermula 3 hingga 7, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac tahun sama,” katanya.

Dalam prosiding lalu, mahkamah menetapkan 6 Disember untuk perkembangan representasi bagi menggugurkan kes, selepas pembelaan memberitahu akan menghantar permohonan untuk menyemak kes terbabit dalam tempoh terdekat.

Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!