Dr Zaliha nafi keluar kenyataan sahkan kewujudan titah adendum
PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan kewujudan titah adendum berhubung penahanan di rumah Datuk Seri Najib Razak.
Tegas beliau, kenyataan media yang disebarkan di media sosial berhubung perkara tersebut adalah palsu.
"Untuk makluman, kenyataan media ini adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh saya.
"Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan media palsu ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.
Titah adendum kembali hangat diperkatakan selepas anak sulung Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Nizar mendakwa beliau menerima bukti tambahan baharu daripada Istana Pahang dan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Pada 3 Julai lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Dalam permohonan yang difailkan April lepas, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari lepas.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!