Putera MIC cadang kerajaan peruntuk lebih dana bagi perkhidmatan kesihatan mental
SHAH ALAM - Kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak dana dan perkhidmatan bagi mengatasi masalah mental dalam kalangan belia serta kanak-kanak.
Ia susulan pendedahan Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi berada di tahap membimbangkan.
Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr Shatesh Kumar Sangar berkata, berdasarkan laporan masalah kesihatan mental kanak-kanak, remaja dan belia meningkat dua kali ganda iaitu daripada 7.9 peratus bersamaan 424,000 orang pada 2019 kepada 16.5 peratus atau 922,318 orang pada 2023.
“Kerajaan perlu menubuhkan lebih banyak klinik atau pusat kesihatan mental berasaskan komuniti untuk menyediakan perkhidmatan berpatutan dan mudah diakses selain memastikan sokongan kesihatan mental tersedia dekat dengan rumah.
“Klinik ini boleh berfungsi sebagai ruang selamat di mana orang ramai boleh mendapatkan bantuan tanpa rasa takut terhadap stigma.
“Hal ini kerana, ketika ini hanya terdapat 37 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) di seluruh negara. Sekurang-kurang setiap daerah di negara ini harus mempunyai satu Pusat Mentari,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, menurut Shatesh, bilangan Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja di hospital kerajaan seramai 18 orang juga turut mencetuskan kebimbangkan serius.
Jelasnya, bagi memastikan Dasar Kesihatan Mental Negara terus relevan dan efektif, beberapa cadangan perlu dipertimbangkan bagi menghadapi cabaran tersebut.
Tambahnya, kesihatan mental adalah isu yang perlu diambil serius dan tanpa sokongan serta tindakan tepat, ia akan memberi kesan negatif jangka panjang.
“Perkhidmatan kesihatan mental, termasuk terapi, kaunseling, dan sokongan psikiatri perlu lebih mudah diakses oleh orang ramai di kawasan bandar dan luar bandar. Ini termasuk meningkatkan jumlah profesional kesihatan mental seperti psikologi, psikiatri serta kaunselor terutamanya di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.
“Ini bukan sahaja tanggungjawab KKM tetapi kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta badan-badan swasta dan korporat harus bersama dalam menangani hal ini.
“Kesihatan mental adalah hak setiap individu, termasuk belia dan kanak-kanak. Saya percaya bahawa dengan usaha bersama daripada semua pihak, kita dapat membentuk persekitaran yang lebih baik bagi golongan muda untuk berkembang secara sihat dan seimbang,” katanya.
-end-
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!