Fahmi tidak lagi wakili ibu bapa Zayn Rayyan
PETALING JAYA - Peguam, Fahmi Abd Moin tidak lagi mewakili ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang berdepan satu pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu, di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Selepas prosiding sebutan kes di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh, dua peguam iaitu Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris memaklumkan mereka merupakan peguam baharu bagi pihak Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 29.
“Kami baharu sahaja mendapat arahan lantikan baharu ini daripada anak guam semalam, namun tiada alasan dinyatakan mengenai menukaran pasukan pembelaan," kata Ramzani.
Sementara itu, Haresh berkata, pembelaan meneliti semua dokumen dan anak guam telah menyatakan mahu membersihkan nama daripada kes terbabit.
Dalam prosiding ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Zaim Ikhwan dan isterinya, Ismanira tiba pada jam 8.49 pagi bagi prosiding kes berhubung permohonan representasi untuk menarik balik atau membatalkan pertuduhan terhadap mereka.
Bagaimanapun kelibat peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili mereka sebelum ini tidak kelihatan bersama mereka.
Dalam prosiding lalu, mahkamah menetapkan 6 Disember untuk perkembangan representasi bagi menggugurkan kes, selepas pembelaan memberitahu akan menghantar permohonan untuk menyemak kes terbabit dalam tempoh terdekat.
Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!