Kastam rampas dadah RM1.56 juta disorok dalam bekas makanan

Norlela (tengah) menunjukkan taktik digunakan dua suspek membawa ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.
Norlela (tengah) menunjukkan taktik digunakan dua suspek membawa ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

SEPANG - Taktik menyembunyikan dadah dalam bekas makanan terbongkar menerusi tangkapan dua lelaki bersama rampasan ketamin kira-kira RM1.56 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan bersama-sama pasukan Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Bahagian Perkastaman Zon Tengah, Unit lll Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal 1, KLIA.

Beliau berkata, operasi pertama dijalankan pada 1 November melibatkan tangkapan seorang penumpang lelaki tempatan berumur 18 tahun yang didapati baru sahaja tiba dari salah sebuah negara di Eropah dengan menaiki pesawat antarabangsa.

Pemeriksaan lanjut menemukan peket plastik berwarna putih yang disembunyikan dalam beberapa kotak makanan dan bungkusan minuman pracampuran.
Pemeriksaan lanjut menemukan peket plastik berwarna putih yang disembunyikan dalam beberapa kotak makanan dan bungkusan minuman pracampuran.

"Hasil pengimbasan dijalankan telah mengesan imej yang mencurigakan di dalam bagasi milik suspek dan mengesyaki ia merupakan dadah.

"Pemeriksaan lanjut menemukan peket plastik berwarna putih yang disembunyikan dalam beberapa kotak makanan dan bungkusan minuman pracampuran dianggarkan seberat 16.91 kilogram serta bernilai kira-kira RM845,670," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, siasatan kemudiannya membawa kepada satu lagi tangkapan di lokasi sama melibatkan seorang lagi suspek pada 2 November.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek turut menggunakan taktik sama iaitu menyembunyikan beberapa peket plastik berwarna putih mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis ketamin dalam kotak makanan dan bungkusan minuman pracampuran.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut mendapati kesemua dadah yang ditemukan dalam bagasi itu seberat 14.18 kilogram serta bernilai kira-kira RM709,030," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati semua bagasi yang dibawa oleh kedua-dua suspek itu didaftar masuk menggunakan kaedah 'checked baggage'.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai merupakan ahli sindiket pengedaran dadah yang sama.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras dan pelbagai barangan lain.

"Orang ramai diseru untuk memberikan kerjasama kepada JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!