Manchester City jumpa Juventus pada Piala Dunia Kelab

Manchester City kendalian Guardiola juara edisi lalu. Foto Agensi
Manchester City kendalian Guardiola juara edisi lalu. Foto Agensi
A
A
A

JUARA Liga Perdana Inggeris, Manchester City diundi bersama Juventus, Wydad AC dan Al Ain dalam Kumpulan G Piala Dunia Kelab Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat tahun depan.

Kejuaraan baharu mengantikan kejohanan asal sebelum ini akan menampilkan sebanyak 32 pasukan kelab terbaik dunia berentap sepanjang Jun dan Julai tahun depan bagi merebut trofi baharu.

Lionel Messi bersama kelab Liga Bolasepak Utama (MLS) Amerika Syarikat (AS) Inter Miami diundi dalam Kumpulan A akan menentang Al Ahly dalam perlawanan pembukaan sebelum menentang Porto dan Palmeiras.

Kejohanan akan diadakan di 12 stadium di seluruh AS dari 15 Jun hingga 13 Julai juga antara venue penganjuran Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama AS, Mexico dan Kanada.

Manchester City tampil dengan status penyandang juara 2023 format lama kini menduduki tempat keempat Liga Perdana Inggeris selepas kehilangan khidmat beberapa tonggak seperti pemain tengah Sepanyol dan pemenang Ballon d'Or, Rodri akibat kecederaan jangka panjang.

Anak buah Pep Guardiola pemenang kejuaraan liga utama Inggeris keempat berturut-turut akan menentang Wydad AC dalam perlawanan pembukaan diikuti Al Ain sebelum menutup peringkat kumpulan menentang Juventus.

Miami adalah pasukan kedua terakhir yang ditambah ke kejuaraan itu selepas memenangi Perisai Penyokong selepas menduduki tempat teratas dalam kedudukan MLS sebelum tewas pada pusingan pertama playoff MLS bulan lalu.

Juara Eropah, Real Madrid akan menentang Al-Hilal, Pachuca dan Red Bull Salzburg dalam Kumpulan H manakala Bayern Munich diletakkan dalam Kumpulan C bersama Auckland City, Boca Juniors dan Benfica.

Artikel Berkaitan:

Juara Eropah tiga kali Inter Milan diundi dalam Kumpulan E bersama River Plate, Urawa Red Diamonds dan Monterrey manakala Paris St-Germain, yang tahun ini memenangi kejuaraan liga utama Perancis ketiga berturut-turut, dalam Kumpulan B bersama Atletico Madrid, Botafogo dan Seattle Sounders.

Kelab Brazil, Botafogo pula menyambar slot terakhir dalam kejohanan minggu lalu setelah memenangi gelaran Copa Libertadores pertama pasukan berkenaan.

Satu lagi wakil England, Chelsea akan memulakan perlawanan Kumpulan D menentang Leon sebelum menentang Flamengo dan Esperance, manakala Kumpulan F dianggotai Fluminense, Borussia Dortmund, Ulsan HD dan Mamelodi Sundowns.

PIALA DUNIA KELAB 2025

Kumpulan A:

Palmeiras (Brazil), FC Porto (Portugal), Al Ahly (Mesir), Inter Miami (Amerika Syarikat).

Kumpulan B:

Paris St-Germain (Perancis), Atletico Madrid (Sepanyol), Botafogo (Brazil), Seattle Sounders (Amerika Syarikat)

Kumpulan C:

Bayern Munich (Jerman), Auckland City (New Zealand), Boca Juniors (Argentina), Benfica (Portugal).

Kumpulan D:

Flamengo (Brazil), Esperance Sportive de Tunisia (Tunisia), Chelsea (England), Club Leon (Mexico).

Kumpulan E:

River Plate (Argentina), Urawa Red Diamonds (Jepun), Monterrey (Mexico), Inter Milan (Itali).

Kumpulan F:

Fluminense (Brazil), Borussia Dortmund (Jerman), Ulsan (Korea Selatan, Mamelodi Sundowns (Afrika Selatan).

Kumpulan G:

Manchester City (England), Wydad (Maghribi), Al Ain (Emiriah Arab Bersatu), Juventus (Itali).

Kumpulan H:

Real Madrid (Sepanyol), Al Hilal (Arab Saudi), Pachuca (Mexico), Red Bull Salzburg (Austria).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!