Ambil upah cuci rumah mangsa banjir tampung belanja
BESUT - Demi untuk menampung perbelanjaan kehidupan seharian, seorang tukang cuci sambilan mengambil upah membersihkan kedai yang ditenggelami air banjir di Kampung La, Hulu Besut di sini.
Azmah Jaafar, 50, berkata, perkhidmatan mencuci rumah mangsa banjir menjadi sumber pendapatan sampingan buatnya susulan tidak dapat menoreh getah ketika musim hujan.
"Apabila Kampung La surut banjir sejak Sabtu lalu, saya mengambil peluang untuk melakukan kerja membersihkan rumah atau kedai yang dinaiki air.
"Saya juga telah mencuci kira-kira tiga atau empat rumah penduduk kampung yang terjejas banjir. Jadi dengan upah yang diterima dapat menambah duit sampingan berikutan pendapatan sedikit terjejas semasa musim hujan ini," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Azmah berkata, kerja membersihkan rumah penduduk yang terjejas banjir merupakan pekerjaan wajib dilakukan setiap tahun.
"Tindakan ini dapat membantu meringankan beban penduduk yang terjejas banjir yang memerlukan perkhidmatan membersihkan rumah atau kedai terkesan akibat bencana itu," ujarnya.
Sementara itu, peniaga, Sakinah Yaacob, 60, berkata, dia mengambil perkhidmatan cuci tersebut kerana tidak dapat melakukan kerja-kerja pembersihan secara bersendirian setelah banjir mulai surut.
"Saya telah membuka kedai kopi dan kedai runcit di tingkat bawah rumah. Jadi untuk melakukan kerja-kerja pembersihan seorang diri itu agak sukar dan memerlukan tenaga yang banyak kerana keadaan kedai diselaputi lumpur.
"Setiap tahun saya akan mengupah tukang cuci yang terdiri penduduk di sekitar Kampung La untuk membersihkan kedai.
"Saya memperuntukkan sebanyak RM400 bagi mengupah pekerja untuk melakukan kerja-kerja pasca banjir," ujarnya.
Sakinah menambah dia membayar upah sebanyak RM80 hingga RM100 kepada setiap pekerja mengikut tempoh kerja atau keluasan kawasan yang dibersihkan.
"Inisiatif ini secara tidak langsung membantu dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk yang terjejas ketika musim banjir," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!