Tiada kesesakan di depot tahanan - Saifuddin Nasution
SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merekodkan seramai 17,126 tahanan yang ditempatkan di 25 depot imigresen termasuk depot tahanan sementara di seluruh negara sehingga 30 September lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu melibatkan 82.5 peratus daripada kapasiti keseluruhan iaitu 20,750 tahanan.
"JIM merekodkan seramai 17,126 tahanan dengan 12,231 lelaki, 3,003 wanita serta 2,092 kanak-kanak keseluruhan.
"Hal ini menunjukkan bahawa tiada kesesakan tahanan berlaku di depot imigresen kerana jumlah tahanan tidak melebihi kapasiti," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai langkah kerajaan untuk memastikan keadaan yang tidak begitu sesak serta kebenaran kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau UNHCR untuk memeriksa depot tahanan imigresen.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution turut memaklumkan, JIM memberi kebenaran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) untuk mengakses masuk ke depot imigresen berdasarkan permohonan secara kes serta bagi pembebasan tahanan yang mempunyai kad pertubuhan itu.
Selain itu kebenaran lawatan turut diberikan kepada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Hasanah dan Geutanyoe Malaysia, International Organization for Migration (IOM), SUKA Society, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Medicins San Frontieres (MSF), International Committee of The Red Cross (ICRC) bersasarkan permohonan diterima Ketua Pengarah Imigresen.
"JIM merekodkan sebanyak 264 sesi lawatan oleh NGO bermula Januari hingga September lalu.
"Kementerian melalui JIM telah melaksanakan beberapa langkah proaktif agar jumlah tahanan direkodkan tidak melebihi kapasiti depot," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!