Lagi rakyat Sabah meninggal dunia di Korea Selatan

Olivia dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Hwamok-ri, wilayah Gyeongsang Utara.
Olivia dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Hwamok-ri, wilayah Gyeongsang Utara.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang lagi rakyat Sabah yang berada di Korea Selatan dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Hwamok-ri, wilayah Gyeongsang Utara, pada Rabu lalu.

Olivia Richard, 46, dilaporkan tidak sedarkan diri di rumahnya sebelum disahkan meninggal dunia dan kini jenazahnya berada di Hospital Andong Sungso.

Menurut adiknya, Dora, 44, mereka hanya mengetahui khabar duka itu selepas ditularkan menerusi kumpulan WhatsApp di kampung yang mengatakan kakaknya telah meninggal dunia.

"Sebenarnya kami tidak tahu pun apa yang berlaku sebab sehari sebelum kejadian saya ada berhubung dengannya melalui WhatsApp, tetapi tiada pula dia mengatakan dia sakit.

"Keesokan harinya, tiba-tiba saya dapat panggilan dari kampung sekitar jam 11 pagi selepas berita itu tular di kumpulan WhatsApp kampung.

"Saya kemudian berhubung dengan rakan serumahnya yang menguruskan mendiang di sana dan menurutnya, pagi kejadian mendiang sempat menghantar rakannya ke tempat kerja sebelum pulang ke bilik dan selepas itu dia ditemui tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Dora berkata, mereka sekeluarga yang masih tidak mengetahui keadaan sebenar mendiang terpaksa bergantung harap dengan rakan serumah yang berada di sana.

"Setakat ini, jenazah mendiang masih berada di hospital selepas dibedah siasat namun kami di sini belum dimaklumkan punca kematiannya.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini kami sedang berusaha mengumpulkan wang untuk membawa pulang jenazah ke kampung halaman kami di Kampung Novoung, Papar, yang memerlukan kos sekitar RM35,000.

"Memandangkan kami bukan dari keluarga yang senang, saya dengan rendah hati meminta tolong kerana mendiang juga seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga anak berusia antara sembilan hingga 14 tahun," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berhubung terus dengan adik mendiang di talian 019-8149558 atau boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank miliknya yang bernombor 1151 2109 0723 (Maybank).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!