Titah adendum: Sebar kenyataan palsu, pegawai Dr Zaliha buat laporan polis

Nor Azrina menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada pagi Jumaat.
Nor Azrina menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada pagi Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Nor Azrina Surip susulan penyebaran kenyataan palsu berkaitan titah adendum Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikatakan dikeluarkan menteri itu.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada pagi Jumaat dan beliau telah menamakan dua akaun Facebook yang memulakan penyebaran tersebut.

Berdasarkan perkongsian oleh Adzman Kamaruddin di X, laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah dibuat untuk tindakan selanjutnya diambil terhadap penyebar kenyataan palsu berkenaan.

Dr Zaliha Mustafa sebagai menteri yang dipertanggungjawab dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, sebelum itu menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan kewujudan titah adendum berhubung penahanan di rumah Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, kenyataan media yang disebarkan di media sosial berhubung perkara tersebut adalah palsu.

Beliau juga menyifatkan ia sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan media palsu tersebut.

Titah adendum kembali hangat diperkatakan selepas anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar mendakwa beliau menerima bukti tambahan baharu daripada Istana Pahang dan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan.

Najib, 71, yang juga bekas Perdana Menteri kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Artikel Berkaitan:

Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!