Pelan penstrukturan semula tidak batal tetapi diperhalusi - LTAT

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)
A
A
A

SHAH ALAM - Pelan penstrukturan semula Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak pernah dibatalkan sebaliknya sedang diperhalusi untuk menangani cabaran serta peluang mengikut situasi pasaran terkini.

LTAT menjelaskan, pelan baharu itu mencerminkan kepekaan dan daya tindak entiti tersebut dan Kementerian Pertahanan dalam menangani isu kestabilan kewangan, mengurus liabiliti, mempelbagaikan pelaburan serta membina portfolio kompetitif dan mampan demi kepentingan semua pemegang taruh.

Malah menurutnya, inisiatif pelupusan aset merupakan satu langkah strategik yang bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap pelaburan dalam syarikat Boustead-Affin.

"Tindakan itu selaras dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menggesa LTAT mempelbagaikan portfolio.

"Tatakelola dan proses pelupusan aset yang telus di setiap entiti Kumpulan LTAT bagi memastikan penjanaan nilai optimum dapat dihasilkan selain dilaburkan semula ke dalam aset berdaya tinggi untuk meningkatkan daya tahan kewangan serta menjamin kebajikan pencarum untuk jangka panjang," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, PAC melahirkan kebimbangan ekoran tiada sebarang pelan alternatif diumumkan setelah Pelan Strategik LTAT 2023-2025 dihentikan sejak 10 bulan lalu.

Ahli Jawatankuasa PAC, Dr Halimah Ali ketika sidang Dewan Rakyat pada Khamis berkata, PAC mendapati pendedahan kepada risiko kebergantungan terhadap Syarikat Boustead Holdings Berhad tanpa program penyusunan semula yang komprehensif membantutkan transformasi LTAT untuk menjadi tabung persaraan yang mampan.

Dalam pada itu, LTAT menjelaskan, pelupusan tanah di Semenyih kepada Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) melalui syarikat usahasama Mutiara Balau Sdn Bhd (MBSB) bertujuan untuk memacu pertumbuhan kawasan pinggir bandar yang pesat membangun.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tawaran komersial kompetitif syarikat itu menerusi cadangan pembangunan berinovatif, kedudukan kewangan kukuh dan rekod pencapaian yang terbukti di Malaysia serta pasaran antarabangsa menjadi faktor utama keputusan itu.

"Hasil tunai daripada transaksi ini akan memainkan peranan penting dalam membiayai program penanaman semula kelapa sawit oleh Boustead Plantation Berhad (BPlant) bagi memastikan pemulihan tanah yang telah matang dan meningkatkan kecekapan operasi.

"Pendekatan strategik ini bukan sahaja mengukuhkan kelestarian jangka panjang syarikat, tetapi sejajar dengan keutamaan negara melalui pengoptimuman penggunaan tanah untuk pertumbuhan ekonomi," ujarnya.

Sementara itu LTAT turut menafikan dakwaan berhubung penjualan tanah di Batu Kawan, Pulau Pinang kepada syarikat Ideal properties Berhad.

Entiti itu menegaskan, pihaknya serta syarikat kumpulan tidak memiliki sebarang tanah di kawasan tersebut dan dakwaan mengenai pelupusan tanah tidak benar dan mengelirukan.

habis//

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!