Pemilik FB 'Kelvin Cao' dipercayai warga tempatan
KUALA LUMPUR - Polis tidak menolak kemungkinan individu yang bertanggungjawab memuat naik status penghinaan terhadap orang Melayu dan Islam di laman sosial Facebook 'Kelvin Cao' adalah warga tempatan.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi), Datuk Mohd Roze Shaari berkata, siasatan masih dilakukan untuk mengesan pelaku terbabit.
"Siasatan awal kita syaki individu yang bertanggungjawab melakukan perkara itu adalah warga tempatan.
"Kita sedang berusaha mengesan dia dan tangkapan akan dibuat secepat mungkin," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan kes terbabit dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman sejak 10 Februari lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM).
ARTIKEL BERKAITAN: Polis cari pemilik akaun Facebook Kelvin Cao
Terdahulu, satu akaun Facebook yang menggunakan nama 'Kelvin Cao' tular selepas memuat naik kenyataan yang berbaur penghinaan kepada agama Islam.
Malah, kenyataan terbabit turut diselitkan dengan ayat berbaur lucah hingga mencetuskan pelbagai reaksi daripada kalangan netizen.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan bahawa tiada lagi amaran dikeluarkan terhadap pihak yang cuba membangkitkan sensitiviti perkauman, bangsa dan agama, sebaliknya mereka yang terbabit akan disiasat dan ditangkap serta-merta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!