Kenaikan premium insurans perubatan: Rundingan semula sedang dilakukan - Anwar

Anwar ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar, Jalan P14, Presint 14. Foto Bernama
Anwar ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar, Jalan P14, Presint 14. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Isu kenaikan caj premium insurans sekitar 40 hingga 70 peratus yang dikenakan terhadap pengguna masih dalam proses rundingan semula.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) akan dimuktamadkan semula selepas mengadakan rundingan dengan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) serta pihak berkepentingan lain.

“Laporan BNM dimuktamadkan selepas mereka berunding.

“Setakat ini prosesnya masih dirunding semula,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar Presint 14 di sini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berpandangan BNM tidak sepatutnya ‘lepas tangan’ hanya kerana ia keputusan perniagaan dibuat syarikat insurans kesihatan.

Menurut beliau, umum mengetahui kenaikan kadar premium insurans kesihatan amat berkait rapat dengan caj hospital swasta yang melambung tinggi sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Susulan itu, BNM telah mengarahkan ITO untuk menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) bagi memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.

Artikel Berkaitan:

Kata bank pusat itu, perkara tersebut perlu dilakukan termasuk menguruskan kenaikan premium secara berterusan atau sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi takaful.

Jelas BNM, ITO juga dikehendaki menyediakan pilihan penyelesaian sesuai untuk pemegang polisi yang sangat terkesan disebabkan peningkatan premium bagi terus menikmati perlindungan insurans.

Terbaharu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying pada Khamis memaklumkan syarikat insurans dan pengendali takaful bersetuju untuk meneliti semula kenaikan premium.

Ujar Hui Ying, ITO turut memberi jaminan untuk mengambil langkah wajar termasuk meneliti semula cadangan menaikkan harga premium insurans perubatan yang dijangka bermula tahun hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!