Sahak Gangster taruhan terbaharu Ahmad Idham
SELEPAS agak lama tidak menghasilkan filem bercorak aksi komedi, pengarah prolifik, Dr Ahmad Idham mencabar diri untuk kembali berbuat demikian menerusi Sahak Gangster.
Cerita Ahmad Idham, perancangan menghasilkan filem berkenaan adalah daripada penerbit sendiri iaitu Millennium Megamas Sdn Bhd.
“Saya tertarik untuk mengarahkan filem melihat konsep ceritanya yang menjurus kepada istilah ‘gangster wanna be’, yang sarat dengan humor dan aksi” ujarnya.
Tambahnya, filem terbaharu arahannya itu mempunyai kelainan berbanding dengan filem-filem genre sama yang pernah dihasilkannya sebelum ini.
“Antara kelainannya adalah karakter Sahak itu sendiri. Dalam filem ini, saya paparkan Sahak ini adalah seorang mahu terlibat dalam dunia gangster.
“Namun, secara hakikatnya Sahak sebenarnya tidak sesuai untuk berada dalam dunia tersebut dan kemudian terjebak dalam satu insiden sehingga dia diburu,” ujarnya.
Bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 9 Januari 2025, Sahak Gangster menampilkan dua pelakon yang semakin meningkat naik iaitu Hariz Hamdan dan Neliisa Nizam selaku teraju utama.
Mengenai pemilihan Hariz dan Nelissa sebagai teraju utama, Ahmad Idham melihat bakat serta potensi kedua-duanya yang dilihat mampu mencipta nama sebagai pelakon popular.
Mengakui mengambil risiko besar apabila menampilkan kedua-dua pelakon berkenaan, dia memberitahu Sahak Gangster turut dibarisi pelakon-pelakon popular.
“Memang saya rancang nak ketengahkan bakat-bakat baru dan saya menjangkakan apabila filem ini ditayangkan, nama Hariz dan Nelissa semakin dikenali ramai.
“Jadi, untuk mengurangkan risiko itu, saya tampilkan juga pelakon yang dah ada nama seperti Yana Samsudin, Usop Wilcha, Mamak Puteh, Razak Ahmad dan Chiwan Raja Lawak,” ujarnya.
Jelasnya, pemilihan pelakon berkenaan bukan sekadar tempelan semata-mata, sebaliknya masing-masing mempunyai karakter yang tersendiri.
Malah, apa yang lebih menarik lagi, pengarah itu menjelaskan dia turut memuatkan genre ‘spoof’, iaitu memasukkan elemen filem-filem lain yang dalam naskhahnya itu.
“Misalnya, saya letakkan Yana Samsudin yang memegang watak Kak Yong dalam Sahak Gangster. Watak Kak Yong itu sendiri memang sudah cukup dikenali ramai,” ujarnya yang berharap filem itu akan menarik perhatian penonton ke pawagam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!