2,460 komuniti hijrah LGBT ikuti kem bimbingan Jakim
SHAH ALAM - Seramai 2,460 orang komuniti hijrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) telah mengikuti program Mukhayyam atau Kem Bimbingan Spiritual yang dianjurkan Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, angka tersebut direkodkan jabatan itu sehingga Disember tahun ini.
"Selain itu seramai 250 orang klien yang mengalami isu LGBT telah mendapat khidmat nasihat psikospiritual Islam melalui KSKCareCentre (KSKCC) di bawah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim yang beroperasi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Putrajaya).
"Ada antara mereka yang telah menunaikan ibadah umrah dan haji, bahkan kini menjadi pembimbing kepada sahabat komuniti hijrah yang lain," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, peranan badan bukan kerajaan seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Ihtimam Malaysia dan Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA) dalam menangani isu tersebut tidak boleh dinafikan.
Menurutnya, pihak berkenaan membantu kerajaan dengan memainkan peranan semak dan imbang selain melaksanakan program-program advokasi serta bimbingan kepada komuniti hijrah LGBT.
"Jakim bersama kementerian, jabatan dan agensi Persekutuan serta NGO telah menggerakkan program pemulihan kumpulan LGBT melalui jawatankuasa khas berkenaan isu LGBT beragama Islam di Malaysia.
"Hari ini saya mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa ini bagi merangka serta memperkasa program pencegahan dan bimbingan kepada komuniti hijrah LGBT beragama Islam," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!