Sukar cari kerja, terdesak guna duit, lelaki tahan MPV polis untuk jual jam
SHAH ALAM - Gara-gara sukar mencari pekerjaan dan terdesak mahu menggunakan wang, seorang lelaki terpaksa menahan kereta peronda polis (MPV) bagi meminta bantuan untuk menjual jam yang dipakainya.
Menerusi perkongsian di akaun TikTok Fandy Fiera yang merupakan seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), bapa kepada dua orang anak itu bertindak demikian kerana ingin mendapatkan sedikit wang untuk menanggung perbelanjaan keluarganya.
Video berdurasi 3.35 minit itu memaparkan, lelaki berkenaan menawarkan jam yang pernah dibeli pada harga RM500 dan hanya mahu menjual RM100 sahaja.
“Abang maaf ganggu. Boleh tak abang tolong beli jam ini? Saya betul-betul perlukan duit, ini bukan jam tiruan G-Shock.
“Dulu beli RM500, sekarang saya jual dengan abang RM100, tolong saya.
“Saya daripada pagi sampai petang cari kerja tak jumpa. Kerja apa pun saya boleh buat tetapi tiada yang mahu beri saya kerja,” kata lelaki tersebut pada Selasa.
Menurut anggota polis berkenaan, dia terkejut kerana menjangkakan lelaki tersebut mungkin tersesat jalan atau mahu bertanyakan mengenai sebuah lokasi yang ingin dituju.
Jelasnya lagi, hasil temubual bersama individu itu mendapati, dia mempunyai masalah kesihatan dan memerlukan wang untuk membeli barangan keperluan dua anak yang berumur 16 serta 12 tahun.
“Kami cuba mencadangkan agar menjual jam itu kepada sebuah syarikat tukar beli namun dia cakap, mereka mahu membeli dengan nilai yang amat rendah.
“Saya tak beli jam ini tetapi saya bagi duit, jadi simpan sahaja jam itu, tiada masalah.
“Semoga pejuang keluarga dipermudahkan urusan dalam mencari rezeki dan sentiasa dilindungi ALLAH SWT,” jelas anggota polis berkenaan.
Menerusi video, jelas kelihatan lelaki itu berasa serba salah kerana jam yang ingin dijual tidak dibeli sebaliknya terus mendapat pertolongan kewangan dan kemudian tidak ketinggalan mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota polis bertugas ketika itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!