Pulau Batu Puteh: Amanah Johor sokong Tun Mahathir disiasat

Laporan Sinar Harian berhubung RCI Batu Puteh syor siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir. Gambar kecil: Aminolhuda
Laporan Sinar Harian berhubung RCI Batu Puteh syor siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir. Gambar kecil: Aminolhuda
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor bersetuju agar bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad disiasat sebagaimana disyorkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, keadilan perlu ditegakkan selain mengetahui sebab dan alasan bekas Perdana Menteri itu tidak mahu meneruskan sebutan kes Pulau Batu Puteh sebelum ini.

"Seperti yang dimaklumkan oleh RCI, Tun Mahathir sebelum ini telah mengambil keputusan sepihak untuk menghentikan semakan semula berkenaan dengan kedaulatan negara dalam isu yang membabitkan tuntutan Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura.

"Amanah Johor sebelum ini sememangnya komited dalam mencadangkan agar semakan semula berkenaan Pulau Batu Puteh untuk dituntut semula kerana ia membabitkan maruah negara kita," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading turut berharap perkara ini tidak lagi berulang seperti mana yang berlaku terhadap Pulau Batu Puteh untuk masa akan datang.

"Amanah Johor juga merakamkan sokongan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mahu mencari penyelesaian serta menambah baik isu kedaulatan negara dan tidak menyalahkan mana-mana pihak.

"Untuk sokongan terhadap syor siasatan jenayah itu, Amanah Johor melihat perlunya rakyat keseluruhan mengetahui apa yang berlaku terhadap tuntutan kedaulatan negara seperti isu Pulau Batu Puteh," katanya lagi.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Prosiding diusulkan susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).

Tindakan berkenaan merupakan antara disyorkan RCI itu dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Khamis

Laporan akhir yang diklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.

Sebagai rekod, pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer (km) dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!