Mahkamah tolak rayuan Guan Eng terhadap keputusan mahkamah tinggi ketepi samannya
PUTRAJAYA - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini gagal dalam rayuannya berhubung saman fitnahnya terhadap naib presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng dan akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk See Mee Chun, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, sebulat suara menolak rayuan Guan Eng selepas memutuskan rayuan itu tidak mempunyai merit.
Mahkamah turut memerintahkan Guan Eng membayar RM30,000 kepada Teik Cheng dan RM40,000 kepada The Star Media Group Berhad bagi kos guaman.
Hakim Ahmad Kamal, yang menyampaikan keputusan mahkamah itu berkata, kenyataan yang dibuat oleh Teik ChengTan tidak berunsur fitnah.
Beliau berkata, mahkamah mendapati artikel Teik Cheng, termasuk berhubung kenyataan yang dipersoalkan itu, adalah berkaitan kepentingan awam dan Teik Cheng hanya meminta Guan Eng untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaan yang tidak dinafikan Guan Eng.
Hakim Ahmad Kamal berkata, seorang lelaki munasabah yang membaca ayat terakhir dalam kenyataan itu pasti akan menganggap bahawa Guan Eng akan memberi penjelasan mengenai isu peruntukan RM4 juta kepada sekolah Cina dan pertukaran nama sekolah itu.
Beliau berkata, ia terbuka kepada Guan Eng untuk turut bertindak balas dengan menyerahkan surat balasan kepada ruangan "Surat kepada Editor" Star dalam talian, yang akan membolehkannya beliau menangani isu tersebut.
Hakim Ahmad Kamal berkata mahkamah rayuan tidak menemui kesilapan undang-undang atau kesilapan fakta dalam dapatan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang sebelum ini menolak tuntutan Guan Eng pada Jun 2023.
Beliau juga berkata, The Star telah menerbitkan kenyataan itu secara adil dan neutral, tanpa sebarang tokok tambah.
Guan Eng yang merupakan bekas setiausaha agung DAP menyaman Teik Cheng dan The Star Media Group berhubung pendapat Teik Cheng yang diterbitkan dalam ruangan "Surat kepada Editor" Star dalam talian.
Teik Cheng dalam kenyataan itu menuntut Guan Eng memberi penjelasan mengenai dakwaan bahawa peruntukan RM4 juta yang diberikan oleh Perbendaharaan Negara kepada sekolah rendah Cina di Johor adalah dengan syarat sekolah itu menukar namanya.
Guan Eng diwakili oleh peguam Simon Murali dan Kok Yuen Lin; manakalan Teik Cheng diwakili peguam Ng Kian Nam, serta Hemananthini Chellakanna Pillai, dan The Star diwakili peguam Abdullah Abdul Rahman dan Deanna Ternisha. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!