Dua wanita didenda beri maklumat palsu daftar anak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Dua wanita didenda masing-masing RM2,000 dan RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput atas kesalahan memberikan maklumat palsu untuk memohon kad pengenalan dan pendaftaran kelahiran anak.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua tertuduh telah ditahan semasa berurusan di kaunter JPN Daerah Sungai Siput (U) pada Khamis.

Menurutnya, kes pertama melibatkan seorang wanita yang memberi maklumat palsu dalam butir material dengan menggunakan maklumat dirinya untuk permohonan kad pengenalan 12 tahun bagi seorang kanak-kanak.

"Wanita itu didakwa di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

"Mahkamah menetapkan agar tertuduh didenda RM2,000 dan dua bulan penjara sekiranya gagal bayar," katanya.

Kenyataan sama berkata, kes kedua membabitkan siasatan kes di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Katanya, dalam kes tersebut, seorang wanita didapati telah mengemukakan maklumat palsu iaitu menggunakan maklumat dirinya semasa mendaftar kelahiran seorang kanak-kanak.

"Tertuduh telah dijatuhkan hukuman denda RM3,000 dan sekiranya gagal bayar dikenakan tiga bulan penjara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua wanita tersebut telah menyelesaikan bayaran denda masing-masing di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada hari yang sama.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua kes pemalsuan maklumat terbabit dikesan melalui aduan dan siasatan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!