Curi RXZ milik warga Singapura, tiga lelaki diberkas
JOHOR BAHRU - Polis berjaya menumpaskan sindiket curi motosikal apabila memberkas tiga lelaki warga tempatan di empat lokasi berasingan di sekitar bandar raya Johor Bahru dan Muar pada awal pagi Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kesemua mereka ditahan kerana dipercayai terlibat dalam insiden curi motosikal jenis Yamaha RXZ milik seorang warga Singapura di lot parkir motosikal sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.
"Kesemua mereka ditahan menerusi Op Lejang yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Cawangan (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama D4 BSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan mulai jam 12.00 tengah malam pada Khamis hingga jam 1.32 pagi, Jumaat.
"Selain menahan suspek, polis turut merampas tiga motosikal melibatkan jenis Yamaha 135 LC, Yamaha 125ZR dan satu jenis Yamaha RXZ termasuk dua rangkai kunci motosikal dan satu kad pengenalan milik suspek yang dipercayai digunakan sebagai kad Touch 'n Go.
"Semakan rekod jenayah terhadap ketiga-tiga suspek mendapati suspek pertama mempunyai 11 rekod lampau kes jenayah dan hasil ujian saringan air kencing, didapati suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Raub berkata, ketiga-tiga suspek direman selama empat hari mulai Jumaat hingga Isnin ini bagi siasatan lanjut.
"Hasil siasatan awal, suspek mengaku mencuri motosikal bagi tujuan mendapatkan wang bagi kegunaan perbelanjaan harian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian hotline 07-2182323.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!