Tiga pendaki dipercayai maut di gunung tertinggi di New Zealand

Kurt Blair, kiri, dan Carlos Romero dilaporkan hilang bersama seorang warga Kanada Steven Van.
Kurt Blair, kiri, dan Carlos Romero dilaporkan hilang bersama seorang warga Kanada Steven Van.
A
A
A

WELLINGTON - Tiga pendaki dipercayai maut di gunung tertinggi New Zealand selepas dilaporkan hilang selama lima hari, menurut polis pada Jumaat, lapor Xinhua.

"Setelah menilai jumlah hari pendaki ini dilaporkan hilang...kami tidak percaya mereka masih terselamat," kata Komander Kawasan Aoraki, Inspektor Vicki Walker.

Polis percaya, ketiga-tiga pendaki, dua dari Amerika Syarikat dan seorang dari Kanada, tidak terselamat selepas terjatuh dari Gunung Cook, gunung tertinggi di negara itu.

Pencarian terhadap mereka bermula pada Isnin selepas laporan mendapati mereka lewat pulang, namun sepanjang minggu, usaha pencarian terhalang akibat cuaca berbahaya, kata Walker.

Disebabkan cuaca yang mengizinkan pencarian, sebuah helikopter dikerahkan pada Jumaat sebagai sebahagian daripada pencarian tiga pendaki yang hilang. Kru helikopter menemukan barangan berkaitan aktiviti mendaki di gunung itu, termasuk sehelai baju, gel tenaga, jaket dan kapak ais.

"Walaupun kami tidak dapat mengesahkan objek itu milik pendaki, kami percaya ia milik mereka," kata Walker, sambil menambah bahawa polis turut menemukan bukti lokasi para pendaki itu mula melintasi cerun di bawah Zurbriggen Ridge, termasuk kesan tapak kaki.

Polis menghubungi keluarga pendaki di AS dan Kanada.

Walaupun polis memulakan proses untuk secara rasmi menghentikan pencarian aktif, mereka bersedia untuk mengaktifkannya semula sekiranya terdapat maklumat baharu atau laporan yang boleh dipercayai, terutamanya daripada komuniti pendaki, kata Walker. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!