Titah adendum: Veteran UMNO desak kerajaan berterus terang
SHAH ALAM - Veteran UMNO mendesak kerajaan berterus terang berhubung titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tindakan itu demi kedaulatan undang-undang dan ketaatan kepada raja serta negara seperti tercatit dalam Rukun Negara.
Menurutnya, sebarang usaha untuk mengkhianati Rukun Negara akan menghilangkan rasa hormat rakyat kepada kerajaan dan lima prinsip tersebut.
"Jangan biarkan isu adendum ini menjadi misteri berpanjangan dan mengelirukan rakyat. Rakyat mahukan kebenaran. Kalau benar maka rakyat mahu ia dilaksanakan.
"Veteran ingin menegaskan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak berbohong. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak berbohong.
"Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah benar. Veteran UMNO yakin adendum itu benar ujud," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan Putrajaya menangguhkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya memulakan semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan titah adendum.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bukti baharu itu difailkan pada Selasa lalu, sehari selepas menerima maklumat dan salinannya sudah diserahkan kepada wakil peguam kerajaan dari Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk menyemak afidavit dan mengesahkan dokumen yang dilampirkan bersama.
Tambah Mustapha, Veteran UMNO menjunjung kasih kepada Sultan Pahang yang telah memperkenankan titah adendum dizahirkan melalui anak Najib, Datuk Mohamad Nizar dalam satu majlis mengadap baginda oleh Exco kerajaan negeri Pahang.
Ujarnya, adendum itu jelas sememangnya ada dan wujud serta ia bukan lagi khabar angin sebagaimana didakwa sebelum ini.
"Zahid dan Wan Rusdi tidak berbohong dengan affidavit mereka. Tuanku Sultan sebagai punca sumber sebenarnya adendum itu telah mengesahkan kebenaran kesahihannya. Adalah mustahil Tuanku berbohong.
"Soalnya, kenapa adendum itu disembunyikan? Siapa menyembunyikannya? Adendum tersebut adalah satu titah. Titah seorang Agong yang wajib ditaati dan dilaksanakan kerajaan," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!