Vietnam ketat pemantauan kesihatan susulan 4 kematian berkaitan influenza
HANOI - Kementerian Kesihatan Vietnam mengarahkan wilayah Binh Dinh di selatan negara itu untuk mengawal jangkitan silang di kemudahan kesihatan selepas wilayah itu melaporkan empat kematian akibat influenza A/H1N1pdm, lapor Xinhua pada Khamis memetik media tempatan.
Keempat-empat kematian melibatkan pesakit berusia 50 tahun ke atas yang disahkan menghidap radang paru-paru teruk serta mempunyai pelbagai penyakit ketika dimasukkan ke hospital.
Doktor memaklumkan yang kematian akibat influenza A/H1N1pdm itu adalah terpencil tanpa sebarang kaitan epidemiologi yang dikenal pasti.
Menurut Jabatan Kesihatan wilayah, sehingga 26 November, wilayah itu melaporkan 842 kes influenza.
Daripada jumlah itu, 26 kes disahkan menghidap radang paru-paru teruk yang disyaki berpunca daripada jangkitan virus.
Ujian makmal mengesan 10 kes positif influenza A/H1N1pdm, satu kes positif influenza B, sembilan kes negatif dan enam kes masih menunggu keputusan. - Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!