Suk-yeol didakwa arah tahan ahli politik utama selepas isytihar undang-undang tentera

Anggota polis kelihatan berhampiran Perhimpunan Kebangsaan di Seoul, Korea Selatan. Foto Xinhua
Anggota polis kelihatan berhampiran Perhimpunan Kebangsaan di Seoul, Korea Selatan. Foto Xinhua
A
A
A

SEOUL - Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, didakwa telah mengarahkan penahanan ahli politik terkemuka daripada parti pemerintah dan pembangkang utama selepas mengisytiharkan undang-undang tentera awal minggu ini, menurut seorang pegawai risikan kanan pada Jumaat.

Agensi berita Yonhap melaporkan bahawa Timbalan Pengarah Pertama Perkhidmatan Risikan Kebangsaan (NIS), Hong Jang-won membuat kenyataan itu dalam pertemuannya dengan Pengerusi Jawatankuasa Risikan, Shin Sung-bum, di Parlimen.

Kenyataan itu didedahkan oleh wakil pembangkang utama, Parti Demokratik (DP) Kim Byung-kee, kepada pemberita.

Antara nama yang tersenarai ialah pemimpin DP Lee Jae-myung; pemimpin parti pemerintah, Han Dong-hoon; Speaker Palimen, Woo Won-shik; Ketua DP di Parlimen, Park Chan-dae; serta wakil Parti Pembinaan Semula Korea, Cho Kuk, dan beberapa ahli politik lain.

Jang-won mendakwa Suk-yeol membuat panggilan telefon lewat Selasa malam dan memberinya arahan untuk "mengambil peluang ini untuk menahan mereka semua dan menyingkirkan mereka."

Jang-won juga berkata, beliau telah menghubungi Komander Risik Balas, Yeo In-hyung, untuk menyampaikan arahan berkenaan.

Jang-won berkata, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan selepas dimaklumkan oleh Pengarah NIS, Cho Tae-yong, bahawa Suk-yeol telah mengarahkannya untuk dipecat pada Khamis, namun surat itu ditolak oleh Tae-yong pada pagi berikutnya.

Sementara itu, Tae-yong menafikan menerima arahan langsung daripada Suk-yeol berkaitan penahanan ahli politik, dan menyatakan tiada perbincangan tentang pemecatan Jang-won daripada pihak presiden mahupun pejabat presiden.

Artikel Berkaitan:

Jawatankuasa Risikan dijadualkan mengadakan mesyuarat tergempar pada pukul 5 petang (waktu tempatan) bagi menyemak dakwaan Jang-won. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!