Kuala Lumpur jadi tuan rumah IP Congress 2026

Majlis penyerahan bendera IPA kepada delegasi Mabopa sebagai simbolik penyerahan hak tuan rumah IP Congress dari Mexico ke Malaysia.
Majlis penyerahan bendera IPA kepada delegasi Mabopa sebagai simbolik penyerahan hak tuan rumah IP Congress dari Mexico ke Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Kuala Lumpur secara rasminya bakal menjadi tuan rumah Kongres Penerbit-Penerbit Antarabangsa (IP Congress) ke-35 pada 2026.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Sheikh Faisal Sheikh Mansor berkata, acara itu akan menerima kedatangan penerbit buku terkemuka dunia yang rata-ratanya belum pernah menjejakkan kaki di Malaysia.

Menurutnya, ia bagi tujuan bersidang dan merasai sendiri kehebatan industri buku negara dan pembaca dari Malaysia yang sering dilihat dalam acara seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).

“Terima kasih diucapkan kepada Persatuan Penerbit-Penerbit Antarabangsa (IPA) kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada Mabopa.

“Dengan rasa rendah diri kami ingin menjemput semua yang terlibat dalam industri penerbitan buku seluruh dunia ke Kuala Lumpur pada 2026 nanti untuk bersidang.

“Di samping mengambil kesempatan dengan segala apa yang bakal dihidangkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

IP Congress merupakan acara penting dalam IPA iaitu kesatuan terbesar dunia sejak 1896 yang kini mewakili ratusan persatuan penerbit nasional, serantau dan pakar antarabangsa dari puluhan negara yang berpusat di Geneva, Switzerland.

Satu acara simbolik penyerahan hak tuan rumah telah dilakukan ketika majlis penutup IP Congress 2024 yang berlangsung di Guadalajara, Mexico pada Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

Delegasi Malaysia di acara kongres dwitahunan tersebut diwakili Sheikh Faisal bersama Naib Presiden Mabopa, Raymond Yeo; Bendahari Mabopa, Sum Lih Kang dan mantan Presiden Mabopa, Arief Hakim Sani Rahmat.

Mengulas lanjut, Sheikh Faisal berkata, surat permakluman yang diterima daripada Setiausaha Agung IPA, Jose Borghino menyebut dokumen pembidaan Mabopa sangat baik dan mencerminkan kemajuan yang terus dicapai industri penerbitan buku negara.

“Ia yang diterajui Mabopa sejak Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2020,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sheikh Faisal turut berharap agar pemain industri perbukuan negara dapat mengambil kesempatan penuh untuk mengembangkan jaringan dan pasaran masing-masing apabila acara ini diadakan kelak.

“Tarikh sebenar acara ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!