Trump lantik David Sacks ketuai Agensi AI dan kripto
PRESIDEN terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis melantik bekas Ketua Pegawai Operasi PayPal, David Sacks mengetuai agensi kecerdasan buatan (AI) dan mata wang kripto negara itu.
Trump menyifatkan AI dan mata wang kripto sebagai dua bidang penting bagi daya saing masa depan Amerika.
Sacks akan bertanggungjawab memastikan AS muncul sebagai peneraju pasaran dunia dalam industri AI dan mata wang digital. Trump juga berkata bahawa Sacks akan melindungi kebebasan bersuara dalam talian dan "membawa kita menjauhi bias serta penapisan oleh Big Tech."
Selain itu, Sacks juga diberi tanggungjawab untuk membangunkan rangka kerja undang-undang bagi industri kripto agar "mendapat kejelasan yang diperlukan dan dapat berkembang di AS."
Beliau, yang juga seorang jutawan akan mengetuai lembaga penasihat presiden masa depan dalam bidang sains dan teknologi.
Sejak kemenangan Trump pada 5 November, pelabur bitcoin meraikannya dengan lonjakan nilai mata wang itu daripada AS$70,000 (RM309,000) sebelum pilihan raya kepada lebih AS$100,000 (RM442,000) minggu ini.
Kegembiraan ini turut dipacu oleh pengumuman Trump bahawa beliau akan melantik Paul Atkins, penyokong mata wang digital, sebagai ketua Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC). - Agensi/Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!