JPN Perak kenal pasti calon SPM enggan duduki peperiksaan

Safuan (kiri) bersama Iskandar Dzulkarnain ketika menyempurnakan perasmian Pusat Kecemerlangan Pendidikan Kuala Kangsar Serambi Khalid di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuala Kangsar, pada Jumaat.
Safuan (kiri) bersama Iskandar Dzulkarnain ketika menyempurnakan perasmian Pusat Kecemerlangan Pendidikan Kuala Kangsar Serambi Khalid di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuala Kangsar, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan memberi perhatian serius terhadap calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah dikenal pasti berkemungkinan tidak hadir peperiksaan.

Pengarahnya, Safuan Raba'ai berkata, tumpuan itu diberikan untuk mengurangkan kadar keciciran calon SPM pada tahun ini.

Menurut beliau, kerjasama semua pihak juga amat diperlukan dalam memastikan tidak berlaku keciciran pelajar yang menduduki peperiksaan SPM.

"Kita ada data dashboard untuk memastikan bahawa murid-murid yang ada kecenderungan keciciran ini dapat ditangani lebih awal dan kita harap bilangan (keciciran) itu pada tahun ini dapat dikurangkan.

"Kalau lihat dalam data kita ada di kalangan murid-murid ini yang sudah memilih kerja dan ada juga yang telah meninggal dunia. Antara faktor-faktor inilah yang menyebabkan mereka tidak terlibat dengan peperiksaan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Pusat Kecemerlangan Pendidikan Kuala Kangsar Serambi Khalid di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuala Kangsar di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Dalam perkembangan berkaitan, Safuan turut menasihati warga pendidik untuk mengambil maklum mengenai pelajar di sekolah masing-masing berkaitan persiapan mereka bagi menghadapi peperiksaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengharapkan supaya komuniti dan ibu bapa dapat juga melihat murid-murid kita yang sedang berjuang dalam peperiksaan ini untuk dibantu dari segi emosi.

"Maklum sajalah dalam keadaan menghadapi peperiksaan ini dari segi kesihatan mental mereka haruslah kita pelihara secara bersama," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Safuan mendedahkan terdapat calon di negeri ini yang tidak hadir semasa Ujian Lisan Bahasa Melayu SPM pada 2 Disember lalu.

Beliau juga meluahkan kebimbangan jika terdapat calon yang tidak hadir bagi kertas peperiksaan SPM yang lain nanti.

Untuk rekod tahun lalu seramai 1,106 calon SPM yang tidak menduduki peperiksaan berkenaan di Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!