Penunggang maut motosikal dirempuh kereta langgar lampu isyarat merah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLUANG – Seorang pemuda maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Kilometer 20, Jalan Kluang- Batu Pahat di sini pada malam Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, kemalangan kira-kira pada jam 10.30 malam itu dipercayai berlaku ketika penunggang motosikal berusia 23 tahun dalam perjalanan dari arah Batu Pahat menghala ke arah Parit Raja.

“Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi berlaku perlanggaran dengan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita warga tempatan berusia 37 tahun yang datang dari arah bertentangan dan telah membelok ke arah sebelah kanan dan telah menghalang laluan motosikal.

“Berdasarkan saksi-saksi awam di tempat kejadian dan rakaman kamera papan pemuka kenderaan lain yang merakam kejadian, dipercayai kereta tersebut tidak berhenti semasa lampu isyarat merah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, akibat perlanggaran tersebut penunggang motosikal telah tercampak ke dalam longkang di tepi jalan sementara motosikalnya pula tercampak di bahu jalan.

"Mangsa mengalami kecederaan parah dan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.

"Sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui hotline Polis Kontinjen Johor, 07-2212999 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, 07-4343999.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!