Rasuah ADUN Sabah: Lapor polis, saman jika video fitnah
SANDAKAN - Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menggesa Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Ahli Dewan Negeri Sabah (ADUN) Sabah supaya mengambil tindakan saman dan membuat laporan polis jika video yang dimuat naik adalah fitnah.
Beliau yang juga ADUN Dilantik berkata, mereka harus mengambil tindakan tegas terhadap tuduhan yang telah dibuat oleh pemberi maklumat berhubung pentadbiran kerajaan negeri.
"Tuduhan tersebut bukan saja telah mencemarkan nama baik Ketua Menteri Sabah dan kerajaan Sabah, tetapi juga menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri serta pelabur.
"Kerajaan negeri bertanggungjawab memastikan ia beroperasi dengan penuh integriti dan bebas daripada sebarang unsur fitnah atau tohmahan tidak berasas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau dalam pada itu berkata, akan terus memantau perkembangan isu tersebut.
"Saya akan terus memberikan sokongan penuh kepada mana-mana pihak yang berusaha untuk menegakkan kebenaran dan keadilan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!