Titah adendum: Hormati institusi diraja

Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan YDPA ke-16. Foto Bernama
Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan YDPA ke-16. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebarang perbahasan mengenai tindakan atau keputusan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu kontroversi titah adendum melibatkan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dilakukan dengan penuh hormat mengikut lunas perlembagaan.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, pertuduhan tanpa asas kepada institusi diraja hanya akan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pemerintahan negara.

“DHPP memandang serius isu kontroversi itu dan ingin menegaskan beberapa perkara. Antaranya, berkenaan keperluan mengutamakan ketelusan di mana kerajaan perlu segera memberikan penjelasan yang jelas serta telus terhadap dakwaan ini.

“Menyifatkan isu tersebut sebagai ‘khabar angin’ tanpa sebarang bukti dokumentasi yang kukuh hanya menambahkan spekulasi dan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, titah adendum kembali hangat diperkatakan selepas anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar mendakwa beliau menerima bukti tambahan baharu daripada Istana Pahang dan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Dalam pada itu, Balachandran memaklumkan, kerajaan juga perlu mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman.

Menurut beliau, kepercayaan rakyat terhadap integriti sistem kehakiman dan keadilan negara mesti sentiasa dijaga.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan wajib memastikan bahawa sebarang isu yang melibatkan badan kehakiman dan Lembaga Pengampunan diuruskan dengan penuh tanggungjawab serta bebas daripada campur tangan politik.

“Jadi, DHPP merayu agar kerajaan mengambil langkah proaktif dalam memulihkan keyakinan rakyat dengan menyediakan jawapan konkrit serta memastikan semua tindakan dan kenyataan selaras dengan prinsip keadilan atau kebenaran,” ujarnya.

Kata beliau, DHPP percaya isu tersebut tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya mesti dilihat sebagai satu peluang untuk memperkukuhkan asas kepercayaan rakyat terhadap institusi negara yang menjadi tonggak perpaduan dan kemakmuran Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!