Maut dilanggar kereta ketika tunggu lampu isyarat merah
SEPANG - Seorang penghantar makanan maut dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita di persimpangan lampu isyarat di Jalan Taman Emas, Puchong pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berumur 27 tahun yang menunggang sebuah motosikal sedang menunggu lampu isyarat merah di lokasi kejadian.
"Siasatan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, sebuah kereta dipandu seorang wanita berumur 39 tahun dari arah Putra Perdana menghala ke Sri Aman.
"Kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang motosikal mangsa mengakibatkan mangsa terjatuh," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
"Siasatan lanjut berkaitan kemalangan ini masih dijalankan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!