Murid dipukul guru: TBQ Amal tarik laporan polis
JOHOR BAHRU - Pusat Jagaan Pertubuhan Pusat Jagaan Tenang Bersama Qadar (TBQ) Amal menarik semula laporan polis terhadap seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggong Abdul Rahman 2 di sini yang didakwa mengasari penghuninya hingga mengakibatkan lebam.
Menurut pengasas TBQ, Herman Sudil, pihaknya menarik semula laporan tersebut atas dasar ihsan dan komitmen penambahbaikan.
“TBQ Amal merupakan rumah perlindungan kanak-kanak yang diiktiraf dengan sijil ISO 9001:2015.
“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) pusat jagaan itu, pihak kami sentiasa mengutamakan kebajikan anak-anak di bawah jagaan terutama dalam menangani isu yang membabitkan keselamatan dan kesejahteraan mereka.
“Mengikut SOP, setiap aduan berkaitan kecederaan fizikal berpunca kekerasan mesti dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Jumaat, tular gambar dan kisah seorang murid yang didakwa ditampar dan ditumbuk guru dalam kejadian di makmal komputer sekolah itu hingga mengakibatkan pipinya lebam.
Tambah Herman, sebelum membuat laporan pihak pengurusan akan menyemak dahulu aduan yang akan dikemukakan secara terperinci.
Malah katanya, penghuni terbabit juga akan disoal dengan bersama saksi kejadian bagi memastikan kebenaran sebelum tindakan selanjutnya.
"Semalam satu pertemuan diadakan di balai polis antara pihak kami, guru besar, guru yang terbabit serta pihak pengurusan sekolah.
"Selepas berbincang secara menyeluruh dan mempertimbangkan kebaikan semua pihak, kami bersetuju untuk menarik balik laporan polis yang dibuat," katanya.
Sementara itu, Herman berkata, pihak TBQ Amal memohon maaf atas kesalahfahaman yang berlaku.
Katanya, kesemua permasalahan telah dapat diselesaikan dengan baik dan damai.
"Kami berharap tiada spekulasi yang negatif kepada mana-mana pihak.
"Terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan keprihatinan dalam memastikan kebajikan anak-anak terus terjaga," katanya.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!