Lembayung inspirasi kisah benar
SEJUJURNYA, penulis bukan penggemar filem seram dan jarang menonton genre itu di pawagam.
Namun senyuman Anna Jobling yang beberapa kali dilihat menerusi media sosial telah 'menghantui' penulis agar menyaksikan Lembayung di pawagam baru-baru ini.
Malah Anna selaku teraju utama filem tersebut mengakui terkejut apabila babak tersebut dijadikan tarikan utama dan poster untuk Lembayung.
Bukan itu sahaja, ketika sesi uji bakat, pengarah Lembayung, Baim Wong meminta Anna tersenyum seperti mahu membunuh seseorang dan kerana senyumannya mencapai piawaian yang dimahukan, Anna mendapat peranan sebagai Dr Tantri yang menjadi hantu selepas kematian tragisnya.
Berbalik kepada Lembayung, filem yang diinspirasikan daripada kisah benar yang ditulis oleh seorang gadis bernama Pica menerusi bebenang di Twitter (kini dikenali sebagai X) sekitar tahun 2022, bertajuk Jin Poli Gigi.
Tertarik dengan jalan cerita tersebut, Baim menghubungi Pica untuk mendapatkan kebenaran menghasilkan sebuah filem yang diinspirasikan daripada kisah dilalui mereka.
Bagaimanapun Baim memilih untuk merahsiakan lokasi sebenar dan tahun terjadi peristiwa itu kerana klinik kesihatan tersebut masih wujud sehingga kini.
Hanya nama Pica lakonan Taskya Namya dan Arum (Yasamin Jasem) dikekalkan dalam Lembayung dan sedikit penambahan cerita untuk mencantikkan lagi Lembayung.
Filem ini secara ringkasnya mengisahkan dua pelajar yang menjalani latihan praktikal di sebuah klinik.
Namun satu demi satu kejadian yang berlaku mendorong Pica mencari kejadian sebenar yang menyebabkan klinik tersebut ditutup selama lima tahun. Pencarian itu akhirnya menyingkap rahsia gelap yang menghantui klinik tersebut.
Jalan cerita Lembayung sememangnya tidak sukar difahami, walaupun Baim membiarkan penonton bermain dengan tanda tanya siapakah yang melemaskan Dr Tantri di awal filem dan adakah Dr Tantri memilih untuk menamatkan riwayat hidupnya.
Bagi sebuah filem seram, Baim berjaya membuatkan penonton resah dengan permainan pencahayaan, bunyi dan elemen 'jump scare' yang mengejutkan.
Bayangkan walaupun babak tersebut bergerak tanpa iringan muzik atau bunyi, ia tetap membuatkan penonton resah untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya.
Penulis memuji Anna kerana menterjemahkan watak hantu dengan begitu baik sekali, pandangan mata, senyuman, aksinya merangkak sememangnya bukan klise dan berbeza daripada filem seram lain.
Ditambah pula dengan lakonan mantap Taskya, Yasamin dan Arya Saloka, ia menambahkan lagi rencah Lembayung.
Jadi, bersediakah anda dihantui bunyi terompah dan senyuman Anna? Jangan lupa menyaksikan Lembayung di pawagam.
LEMBAYUNG
PENGARAH: Baim Wong
PELAKON: Anna JoblingTaskya Namya, Yasamin Jasem, Arya Saloka
GENRE: Seram
DURASI: 2 Jam 4 Minit
KLASIFIKASI: 16
TAYANGAN: 5 Disember 2024
BINTANG: 3.5 / 5
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!