Perkenal program kesihatan mental
SHAH ALAM - Kerajaan disaran memperkenalkan program wajib mengenai kesihatan mental di semua institusi pendidikan untuk mengurangkan stigma dan meningkatkan literasi mental.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, stigma masyarakat terhadap masalah mental membuatkan ramai pelajar takut mendapatkan bantuan sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes masalah kesihatan mental golongan tersebut.
Justeru katanya, kerajaan juga wajar memperluaskan sokongan kaunseling dengan menambah bilangan kaunselor bertauliah yang mudah diakses di sekolah dan universiti.
“Perlu perkasakan juga sistem sokongan rakan sebaya dengan melatih pelajar menjadi peer support untuk membantu rakan-rakan mereka yang memerlukan.
“Selain itu, laksanakan pengubahsuaian kurikulum dengan kurangkan penekanan pada peperiksaan dan tingkatkan aktiviti yang membina kesejahteraan pelajar, seperti sukan dan seni,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang menunjukkan masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi membabitkan kumpulan umur kanak-kanak, remaja dan belia menunjukkan peningkatan dua kali ganda.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata, berdasarkan laporan itu, masalah mental mencatatkan kenaikan daripada 7.9 peratus iaitu 424,000 orang pada 2019 kepada 16.5 peratus (922,318 orang) tahun lalu.
Mengulas lanjut, Fauziah berkata, beberapa cabaran utama dihadapi pelajar dan mahasiswa, antaranya tekanan akademik melibatkan beban kerja yang tinggi, keperluan untuk mencapai kecemerlangan akademik dan persaingan sengit.
Selain itu jelasnya, masalah kewangan juga menjadi punca kepada tekanan besar kepada pelajar disebabkan kos sara hidup meningkat dan hutang pendidikan.
“Pelajar juga sukar mengimbangi antara akademik, tanggungjawab keluarga, pekerjaan sambilan dan kehidupan sosial, selain kekurangan sokongan sosial terutama bagi pelajar yang tinggal jauh daripada keluarga.
“Gangguan emosi juga boleh wujud akibat perbandingan sosial dan buli siber dan cabaran menyesuaikan diri dengan perubahan besar seperti memasuki universiti atau dunia pekerjaan,” ujarnya.
Beliau berkata, walaupun terdapat usaha kerajaan dalam menangani isu kesihatan mental pelajar dan mahasiswa, masih terdapat beberapa kelemahan ketara.
“Sistem pendidikan masih kurang menekankan kesejahteraan emosi dan mental. Kempen kesedaran juga tidak menyeluruh dan tidak menjangkau golongan pelajar yang paling memerlukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!