Selaraskan bantuan agar tiada mangsa tercicir
SHAH ALAM - Pusat sehenti boleh diwujudkan bagi menyelaraskan bantuan banjir oleh individu ataupun sukarelawan yang tampil memberikan bantuan kepada mangsa banjir.
Aktivis sosial berpengaruh, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pusat sehenti itu juga bertujuan menyediakan bantuan secara sistematik dan teratur kepada mangsa, terutama dalam konteks bantuan makanan dan juga barang keperluan lain.
“Saya bersetuju untuk ada one stop centre di mana semua bantuan sama ada makanan atau apa-apa yang dapat digunakan ditempatkan di satu lokasi kemudian direkodkan dan diagihkan kepada mangsa-mangsa di kawasan- kawasan tertentu.
“Ia akan dapat dilakukan secara sistematik dan teratur agar tidak berlaku apa-apa masalah berkaitan dengan kutipan dan pemberian kepada mangsa banjir.
"Paling penting kita nak pastikan mereka yang benar-benar layak mendapat bantuan,” katanya.
Beliau mengulas laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa lalu berkenaan setiap kali musibah banjir melanda negara, pasti ada individu atau sukarelawan yang tampil memberikan bantuan kepada mangsa yang terjejas sama ada dari segi barangan keperluan, kewangan mahupun sokongan emosi.
Antara yang tampil memberikan bantuan segera ialah pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming serta Ahmad Iqbal Zulkefli yang membantu mangsa banjir di Kelantan, manakala Mohd Zaki Sulong atau lebih dikenali dengan gelaran Zuki Traktor pula menghulurkan bantuan di Terengganu.
Lam Thye yang juga Pengasas dan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat turut memuji hero-hero yang turun membantu meringankan beban mangsa banjir dan diharapkan agar lebih ramai dapat tampil membantu tanpa mengira kaum dan agama.
“Apabila kita menghadapi musibah banjir, kita sangat memerlukan sukarelawan yang dapat membantu,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!