Manfaat besar kepada Malaysia

Kepengerusian ASEAN pada 2025 merupakan satu peluang besar bagi Malaysia untuk menyerlahkan kebolehannya dalam memimpin rantau ini.
Kepengerusian ASEAN pada 2025 merupakan satu peluang besar bagi Malaysia untuk menyerlahkan kebolehannya dalam memimpin rantau ini.
A
A
A

TAHUN 2025 kian menjelang. Bagi Malaysia, 2025 merupakan tahun di mana kita mengambil alih jawatan Pengerusi blok ekonomi kelima terbesar di dunia, dengan 680 juta penduduk.

Sebagai salah satu pengasas perkumpulan serantau ini pada 1967 bersama Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand, inti pati dan semangat ASEAN tentunya sudah sebati dengan Malaysia.

Justeru, Kepengerusian ASEAN pada 2025 merupakan satu peluang besar bagi Malaysia untuk menyerlahkan kebolehannya dalam memimpin rantau ini bagi merealisasikan potensi ASEAN sepenuhnya.

Tahun 2025 juga sangat bermakna bagi ASEAN kerana ia juga merupakan ulang tahun ke-10 Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Tema Kepengerusian ASEAN - Malaysia 2025 ialah ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, dua nilai utama yang juga berteraskan nilai Madani Malaysia, merangkumi nilai-nilai Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan serta Ihsan.

Bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), nilai-nilai ini jugalah yang akan mendorong keberhasilan agenda ekonomi yang akan kami ketengahkan melalui Tonggak Ekonomi ASEAN.

Tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ ini bunyinya mungkin ringkas, tetapi ia benar-benar merangkumi situasi getir yang perlu dihadapi ASEAN ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Tiada maknanya berhempas pulas melalui usaha-usaha ASEAN untuk mencapai kemakmuran ekonomi dan inovasi teknologi jika rantau Asia Tenggara gagal menjadi lebih inklusif dan mampan untuk rakyatnya.

Hakikatnya, kita telah berbincang tentang keperluan untuk ‘ASEAN yang berpaksikan rakyat’ selama beberapa dekad. Ini bagi memastikan kemajuan ekonomi serantau akan memberi manfaat kepada semua, termasuk wanita, belia dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Selain itu, ekonomi dan rakyat kita juga akan ketinggalan jika tidak boleh mencipta ekosistem serantau yang memaksimumkan faedah e-dagang dan pendigitalan. Tambahan pula, tanah air dan ekosistem ekonomi kita juga akan musnah jika kita gagal mengamalkan konsep kelestarian dan peralihan ke arah tenaga hijau dan karbon sifar.

Kerajaan Madani Malaysia juga mengesyorkan kemakmuran yang tidak hanya menguntungkan golongan kaya dan elit sahaja, atau yang mengorbankan alam sekitar kita yang sememangnya sudah rapuh kesan daripada ekonomi dan industri yang berasaskan karbon sejak berabad-abad lamanya.

Oleh itu, tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ memang cukup tepat untuk ASEAN 2025 kerana kedua-dua nilai ini amat diperlukan oleh bukan sahaja rantau ini, malah Malaysia sendiri untuk kekal berjaya di masa hadapan.

Acara utama yang dinantikan sudah pastinya dua Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur bersekali dengan Sidang Kemuncak Berkaitan seperti ASEAN 3 atau Sidang Kemuncak Asia Timur.

Pastinya ramai akan teruja melihat pemimpin rantau ini dan dari negara-negara membangun hadir ke negara kita.

Selain itu, komitmen kami sepanjang tahun sebenarnya melibatkan berbilang mesyuarat merentasi pelbagai kementerian demi memajukan tiga tonggak ASEAN iaitu keselamatan politik, integrasi ekonomi dan sosio-budaya.

Selain MITI, beberapa Kementerian lain juga bertanggungjawab bagi keberhasilan Tonggak Ekonomi ASEAN.

Keberhasilan Utama Ekonomi (Priority Economic Deliverables – PED) di bawah Tonggak Ekonomi akan diklasifikasikan kepada empat teras utama iaitu mengukuhkan perdagangan dan pelaburan, mewujudkan laluan inklusif dan mampan, mempromosikan integrasi dan ketersambungan ekonomi serta membina ASEAN yang berdaya tahan secara digital.

Maklumat lanjut berkaitan objektif sasaran kami akan dimaklumkan kelak. Beberapa rakan Kabinet saya juga bakal menerajui beberapa inisiatif secara individu atau melalui kerjasama antara kementerian.

Di peringkat pengurusan, Mesyuarat Pegawai Kanan Ekonomi baru sahaja berakhir di Kota Kinabalu dari 4 hingga 5 Disember 2024.

BENTUK MASA DEPAN LEBIH PROAKTIF

Melangkah ke hadapan, antara mesyuarat-mesyuarat penting di bawah Tonggak Ekonomi termasuk Pemukiman Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) yang ke-31 di Johor (Februari 2025), Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat di Kuala Lumpur (April 2025); dan Perundingan Rakan Dialog AEM ke-57, bersekali dengan Mesyuarat Menteri Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) di Kuala Lumpur (September 2025).

Pasti ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya keberhasilan daripada semua mesyuarat ini. Perlu diingat bahawa ASEAN akan menjadi ekonomi yang ke-empat terbesar di dunia menjelang 2050.

KDNK pada 2023 berjumlah AS$3.8 trilion berbanding AS$2.5 trilion pada 2015, manakala perdagangan serantau berjumlah AS$3.5 trilion berbanding AS$2.3 trilion pada 2015.

Seperti yang saya telah sebut berulang kali, ada banyak ruang untuk penambahbaikan, terutamanya dengan perdagangan intra-ASEAN pada kadar hanya 23 hingga 25 peratus buat masa ini.

Peningkatan perdagangan adalah salah satu agenda utama MITI untuk tahun depan, termasuk usaha memuktamadkan atau menaik taraf pelbagai Perdagangan Bebas Perjanjian (FTA) yang telah diratifikasi oleh ASEAN dengan rakan dagangan utama.

Apabila perdagangan intra-ASEAN meningkat, insya-ALLAH perdagangan bagi Malaysia juga bakal meningkat sama. Ada satu cara mudah untuk kita menghargai nilai ASEAN.

Bayangkan sahaja ketiadaan akses bebas visa untuk perniagaan dan perjalanan ke negara lain di rantau ini; tiada lorong khas ASEAN di semua kaunter imigresen di pelbagai lapangan terbang; cukai yang tinggi ke atas pelbagai barangan eksport Malaysia ke negara-negara Asia Tenggara dan sebaliknya.

Seterusnya, tiada FTA dengan rakan dagangan yang penting seperti China, India dan Jepun, di mana perundingan perjanjian perdagangan dua hala perlu dilakukan secara individu oleh setiap negara, satu demi satu.

Bayangkan juga, jika setiap negara anggota ASEAN perlu berunding secara individu berkaitan isu-isu rentas sempadan seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan iklim.

Jika isu-isu ini boleh dirundingkan sebagai satu kumpulan, pastinya ia akan memberi manfaat kuasa rundingan yang lebih besar.

Semua ini mungkin sukar untuk dihayati orang ramai, kerana kebanyakan kita telah terbiasa dengan pergerakan bebas bagi barangan, perkhidmatan dan rakyat dalam kalangan negara ASEAN, yang telah pun dipermudahkan oleh pelbagai rundingan terdahulu antara Kerajaan-Kerajaan di ASEAN.

Sememangnya masih banyak lagi yang perlu diusahakan oleh ASEAN untuk menjadi komuniti ekonomi yang lebih bersepadu.

Sebab itulah MITI berazam untuk meraih sebanyak mungkin hasil melalui Tonggak Ekonomi, untuk memastikan agar faedah ekonomi ASEAN yang lebih bersepadu akan terus kekal melangkaui tempoh Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025.

MITI berazam untuk membantu Malaysia membentuk masa depan rantau ini dengan lebih proaktif dan bersemangat.

Hasilnya mungkin tidak menjadi kenyataan dalam sekelip mata tetapi bagaimana Malaysia memacu agenda ASEAN dan menguruskan isu-isu serantau yang sukar, akan memberi kesan mendalam kepada rakyat dan perniagaan Malaysia dalam jangka masa panjang.

Jadi, sama ada kesemua mesyuarat ini benar-benar akan memberi impak kepada Malaysia, jawapannya ‘ya’, Malaysia bakal meraih pelbagai manfaat dari Kepengerusian ASEAN ini, dan kita perlu mengoptimumkan peluang ini sebaik mungkin.

Justeru, saya amat teruja dengan agenda ekonomi ASEAN MITI. Kita perlu bekerja keras dan menguatkan azam untuk mencapai objektif Tonggak Ekonomi yang telah ditetapkan, kerana saya yakin impak positif kepada rantau ini akan melangkaui tempoh Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, bahkan juga jangka hayat kita semua, insya-ALLAH.

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!