Malaysia perlu sedia terima tempias perang dagangan China-AS
PERANG perdagangan antara dua kuasa dunia kembali tercetus selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan baharu ke atas eksport beberapa cip serta peralatan semikonduktor ke China dengan alasan keselamatan negara.
Agensi Berita Jerman (dpa) melaporkan, langkah itu ‘direka untuk melemahkan lagi’ keupayaan China menghasilkan semikonduktor maju yang boleh digunakan dalam sistem senjata canggih generasi akan datang.
Menurut kenyataan Biro Industri dan Keselamatan Jabatan Perdagangan AS, ia termasuk juga kecerdasan buatan (AI) serta pengkomputeran berprestasi tinggi yang mempunyai aplikasi ketenteraan signifikan.
Bukan itu sahaja, Kementerian Perdagangan China kemudian mengumumkan negara itu menyekat eksport mineral kritikal seperti galium, germanium dan antimoni yang diperlukan dalam pembuatan peralatan elektronik serta ketenteraan AS.
Menurutnya, langkah larangan tersebut diambil atas dasar kebimbangan terhadap keselamatan negara dan ia berkuat kuasa serta merta.
Tidak dapat dinafikan bahawa, tindakan larangan eksport oleh China itu sebenarnya dilakukan sebagai ‘serangan balas’ kepada AS.
Perang perdagangan dan konflik kedua-dua negara bukan perkara yang baharu dan telah berlaku sekian lama apabila masing-masing mengenakan sekatan eksport terhadap satu sama lain.
Persoalannya, walaupun konflik tersebut hanya melibat dua kuasa besar ekonomi, adakah Malaysia turut menerima kesan dan tempias?
Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Andrew Kam Jia Yi meramalkan Malaysia mengalami sedikit kesan susulan perang dagangan tersebut.
Beliau berkata, Malaysia sebagai salah satu pengeluar semikonduktor global sudah pasti akan terkesan secara tidak langsung apabila permintaan barangan dan perkhidmatan dari China terjejas.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi dari Fakulti Perniagaan Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perang dagangan berkenaan boleh menyebabkan kenaikan kadar inflasi di seluruh dunia termasuk Malaysia sekiranya berterusan.
Ujar beliau, ia berikutan kesan pelbagai kawalan dan sekatan terhadap barang keluaran serta langkah mengehadkan import seperti tarif yang lebih tinggi daripada kedua-dua negara terbabit.
Justeru itu, Malaysia perlu lebih bersedia menerima impak dari perang dagangan yang dilihat seolah-olah tidak akan berakhir dalam masa terdekat, lebih-lebih lagi dengan Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan kembali mentadbir negara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!