India nasihat rakyatnya supaya tinggalkan Syria
NEW DELHI - India mengeluarkan nasihat perjalanan agar rakyatnya mengelakkan sebarang perjalanan ke Syria dan meminta warga India yang berada di negara itu untuk meninggalkan Syria secepat mungkin susulan kumpulan penentang bersenjata menawan bandar-bandar utama dalam tempoh seminggu lalu.
“Memandangkan situasi yang sedang berlaku di Syria, warga India dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang perjalanan ke Syria sehingga pemberitahuan lanjut,” menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar India pada Jumaat malam.
Sementara itu, warga India di Syria diminta untuk terus berhubung dengan kedutaan India di Damsyik bagi mendapatkan perkembangan terkini.
“Mereka yang berkemampuan dinasihatkan meninggalkan Syria dengan penerbangan komersial terawal yang tersedia, manakala yang lain disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya, mengehadkan pergerakan seminimum mungkin demi keselamatan,” menurut kementerian itu.
Jurucakap kementerian, Randhir Jaiswal dalam satu taklimat media sebelum ini memaklumkan terdapat kira-kira 90 rakyat India berada di Syria.
Pada Jumaat, pasukan penentang Syria dilaporkan berada berhampiran bandar Homs dan dalam perjalanan ke ibu kota Damsyik, selepas menawan Hama pada Khamis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!