JDT perlu beri aksi terbaik berdepan KL City

Muniz
Muniz
A
A
A

TONGGAK tengah skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Muniz mengingatkan rakan-rakan sepasukannya untuk memberikan aksi terbaik ketika berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), pada aksi pusingan kedua Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Ahad.

Menurutnya, biarpun gah di puncak liga ketika ini, kesebelasan skuad Harimau Selatan itu diharap tidak mengambil mudah aksi berdepan skuad The City Boys itu yang dilihat menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

Malah katanya, pemain juga bakal berdepan corak permainan berintensiti tinggi yang menjadi nadi utama buat skuad kendalian Miroslav Kuljanac, itu.

“Selepas menempuh aksi sukar dalam saingan ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elit), kita kembali berikan fokus kepada saingan Liga Super dan kali ini kita akan menentang pasukan yang bukan calang-calang, KL City.

“Pada pendapat saya, KL City dibarisi ramai pemain yang baik dan suka beraksi dengan mendominasi bahagian tengah bagi mengekang pergerakan lawan.

“Bagaimanapun, JDT dilihat memiliki kelebihan kerana selain beraksi di gelanggang sendiri selain mendapat sokongan padu penyokong,” katanya menjelang aksi berkenaan.

Untuk rekod, pada aksi pusingan pertama Liga Super 25 Mei lalu, JDT menang 5-1 di Stadium Bola Sepak KLFA Cheras.

Sementara itu, mengulas mengenai aksi berdepan skuad sama pada aksi suku akhir Piala Malaysia nanti, Muniz berkata, pada ketika ini tumpuannya hanyalah untuk aksi saingan Liga Super.

Artikel Berkaitan:

“Saya lebih selesa untuk memberikan tumpuan kepada satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Oleh itu, biar kami berikan fokus berdepan KL City bagi saingan Liga Super dan kemudiannya barulah bagi aksi saingan suku akhir Piala Malaysia pula,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!