Banjir: JBPM tambah baik pergerakan operasi hadapi gelombang kedua

Aiman Athirah (kanan) mendengar taklimat daripada Nor Hisyam ketika lawatan di Bilik Gerakan Banjir, Balai Bomba Tunjong pada Sabtu.
Aiman Athirah (kanan) mendengar taklimat daripada Nor Hisyam ketika lawatan di Bilik Gerakan Banjir, Balai Bomba Tunjong pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melakukan penambahbaikan pergerakan operasi sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua bencana banjir di Kelantan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, berdasarkan pengalaman gelombang pertama, tindakan pengalihan logistik juga wajar dilakukan lebih awal bagi membolehkan operasi menyelamat dilakukan lebih cepat.

Menurutnya, pengalaman air naik dengan cepat dan kritikal di Rantau Panjang antara perkara utama yang dibincangkan melalui pos mortem gelombang pertama.

"Kenaikan air sukar dijangka dan kritikal sehingga mengakibatkan balai bomba di daerah itu tenggelam," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Bilik Gerakan Banjir, Balai Bomba Tunjong pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisyam Mohammad dan Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan,

Beliau berkata, semua logistik dan pangkalan hadapan terpaksa dipindahkan daripada lokasi asal ke tempat lebih tinggi supaya koordinasi dapat dilakukan dengan lebih sistematik.

"Jalan di kawasan Culvert 5 pula terputus dan mengambil masa agak lama untuk ke Rantau Panjang," katanya.

Aiman Athirah turut memuji strategi teratur yang dilaksanakan pasukan bomba di negeri sehingga mampu melakukan operasi menyelamat bersama agensi lain walaupun banjir berlaku di luar jangka.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Aiman Athirah turut memaklumkan, seramai 12 anggota bomba yang tinggal di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang dilaporkan sebagai mangsa banjir.

Bagaimanapun jelas beliau, kesemua mereka masih menjalankan tugas dalam operasi menyelamat dan tiada anggota serta pegawai yang mengalami kecederaan setakat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!