Banjir: Kerajaan sedia bawa bantuan luar ke Kelantan jika keadaan mendesak
KOTA BHARU - Kerajaan bersedia membawa anggota dan penyelamat dari luar Kelantan jika keadaan mendesak dalam situasi banjir gelombang kedua.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berpuas hati dengan operasi dan gerak kerja menyelamat yang dilakukan 1,393 anggota bomba di seluruh Kelantan.
Menurut beliau, sehingga kini, semua logistik berada dalam keadaan siap sedia termasuk 12 lori, 62 bot dan sembilan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Setakat ini, kita berpuas hati dengan semua persiapan dan gerak kerja yang dilakukan sama ada di lapangan dan operasi di peringkat negeri," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Bilik Gerakan Banjir, Balai Bomba Tunjong pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisyam Mohammad dan Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan.
Beliau memberitahu, cabaran operasi ialah berdepan risiko air deras namun pada masa sama memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat.
"Kita dapat meningkatkan komunikasi dan menyelamat berikutan ramai mangsa banjir yang berkongsi situasi mereka dalam keadaan sukar," katanya.
Jelas beliau, sebanyak 82,000 jentera membabitkan 20,000 anggota dalam keadaan siap siaga di seluruh negara.
"Di Kelantan pula, sebanyak lapan lokasi penempatan pasukan bomba termasuk di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Pengkalan Kubor dan BBP Wakaf Bharu, Tumpat, BBP Machang serta BBP Kuala Krai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!