Trauma terkenang tragedi rumah pusaka musnah dihanyut banjir
BESUT - Seorang warga emas masih tidak dapat melupakan tragedi rumah pusaka dihuni tujuh sekeluarga musnah setelah dihanyutkan air ketika banjir besar melanda Hulu Besut, di sini dua tahun lalu.
Raja Kamarudin Raja Mohamed, 60, berkata, walaupun kejadian itu sudah lama berlalu dan dia telah membina rumah baharu, perasaan bimbang masih menyubungi dirinya setiap kali hujan lebat.
Menurutnya, ketika banjir melanda baru-baru ini, dia terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La.
"Walaupun telah berada di PPS, hati saya masih tidak tenteram kerana bimbang rumah kembali dinaiki air atau dibadai arus deras.
"Walaupun telah buat binaan kekal untuk rumah baharu, saya akui masih trauma dan bimbang jika kejadian sama yang berlaku pada Disember 2022 berulang," katanya ketika ditemui di Kampung La di sini, baru-baru ini.
Menurut bapa kepada lima cahaya mata itu, banjir yang melanda baru-baru ini menyebabkan rumahnya dinaiki air setinggi 2 meter.
"Bahagian bawah rumah ditenggelami air sepenuhnya, namun kami bersyukur kerana ia masih berdiri kukuh dan berharap tragedi sama tidak lagi berulang," ujarnya.
Jelas Raja Kamarudin, dia mengambil masa selama dua tahun untuk membina rumah baharu tersebut.
"Rumah ini siap sepenuhnya pada awal November lalu. Ia dibina sendiri melalui hasil sumbangan orang ramai dan wang simpanan saya," katanya.
Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, banjir di Terenganu sudah pulih sepenuhnya pada Jumaat apabila pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Setiu ditutup jam 9 malam pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan luruan monsun dijangka berlaku bermula Ahad sehingga 14 Disember ini yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan di tujuh negeri.
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip memberitahu, luruan monsun berskala lemah hingga sederhana itu dijangka turut melanda Sarawak dan Sabah, termasuk negeri-negeri di barat Semenanjung apabila intensiti luruan semakin kuat.
Beliau berkata, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan tujuh negeri sehingga 11 Disember, yang dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!