RISDA salur bantuan asas kakitangan terjejas banjir

Manndzri (depan, lima dari kanan) turun melawat kakitangan RISDA yang terkesan dengan bencana banjir.
Manndzri (depan, lima dari kanan) turun melawat kakitangan RISDA yang terkesan dengan bencana banjir.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyalurkan bantuan asas dan wang tunai kepada seramai 94 orang kakitangannya yang terjejas banjir di Terengganu dan Kelantan.

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, RISDA berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif itu bagi memastikan kakitangan mereka menerima bantuan asas yang mencukupi selepas terkesan dengan musim Monsun Timur Laut ketika ini.

Manndzri (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan tunai dan keperluan asas kepada kakitangan RISDA yang ditimpa bencana banjir di Terengganu dan Kelantan.
Manndzri (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan tunai dan keperluan asas kepada kakitangan RISDA yang ditimpa bencana banjir di Terengganu dan Kelantan.

Katanya, daripada kesemua kakitangan yang menjadi mangsa berkenaan, 35 dari RISDA Terengganu manakala baki 59 dari RISDA Kelantan termasuk Kumpulan RISDA Holdings.

"Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib telah mengadakan lawatan ke lokasi terjejas bagi menziarahi serta meninjau sendiri keadaan rumah mangsa serta premis RISDA yang ditimpa musibah.

"Dalam lawatan tersebut, Manndzri menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada setiap mangsa, selain bantuan keperluan asas seperti makanan dan peralatan harian. Langkah ini diambil sebagai usaha meringankan beban yang ditanggung oleh kakitangan terlibat," katanya.

RISDA memaklumkan, antara kawasan yang dilawati Manndzri di Terengganu termasuk Padang Air, Kuala Bekah, Kuala Berang dan Gerdong manakala di Kelantan ia membabitkan Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

Menurutnya, lawatan tersebut turut disertai kakitangan Ibu Pejabat RISDA, RISDA Terengganu, RISDA Kelantan serta Kumpulan RISDA Holdings yang membantu menyampaikan bantuan dan sokongan.

Artikel Berkaitan:

"Manndzri menzahirkan komitmen pengurusan tertinggi agensi di bawah pimpinan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli untuk terus menyalurkan bantuan kepada seluruh mangsa terjejas akibat fenomena monsun ketika ini.

"Ia diharapkan dapat meringankan beban yang dihadapi selain menjadi sumber motivasi kepada mereka untuk bangkit semula," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!