91,000 hektar tanah terbiar dikenal pasti untuk tanaman padi
KUALA PILAH - Sebanyak 91,000 hektar lokasi tanah terbiar di seluruh negara telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kebanyakan lokasi tersebut berada di luar kawasan jelapang padi.
"Itu bukannya sedikit, banyak... dan kita sedang tumpu ke arah itu (bangunkan tanah terbiar).
"Kawasannya banyak di negeri-negeri yang dianggap luar jelapang dan kemajuan industrinya hebat, maka tanaman padi ditinggalkan. Tapi sekarang, tak boleh lagi semuanya kena bersama," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Skim Padi Terachi Batu 14, Kampung Gedang di sini pada Sabtu.
Pada masa sama ujarnya, kementerian itu juga sedang dalam usaha memulihkan semula lokasi sawah padi terbiar termasuk mewujudkan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (AIDA) Selatan yang merangkumi kawasan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
"Kita kena anggap untuk mencukupkan beras ini adalah perkara serius yang mesti kita hadapi dan usahakan.
"Ini kerana pergantungan kita sekarang adalah kepada import dan jika berlaku apa-apa kepada negara yang kita import itu, kita akan hadapi masalah," katanya.
Ujar Mohamad, antara usaha dilakukan bagi meningkatkan pengeluaran padi di negara ini adalah melalui kaedah penanaman lima musim dalam tempoh dua tahun bermula Januari depan.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada sistem pengairan yang mencukupi dan usaha ke arah itu sedang dilakukan.
"Kalau separuh kawasan padi di negara ini dibuat lima kali dua musim, kita dah cukup beras. Itu yang sedang kita usahakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!