Sekolah terjejas banjir dibaik pulih segera - Amir Hamzah

Amir Hamzah (tengah) ketika meninjau peralatan sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Amir Hamzah (tengah) ketika meninjau peralatan sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sekolah yang terjejas akibat banjir akan dibaik pulih segera agar sekolah terlibat dapat beroperasi semula dengan lebih cepat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kementerian Kewangan (MOF) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyalurkan peruntukan terbabit secepat mungkin.

Menurutnya, langkah itu diharap dapat membantu sekolah terjejas beroperasi semula tanpa perlu menangguhkan sesi persekolahan.

“MOF meninjau sekolah terjejas untuk kita dapatkan maklum balas apa yang boleh dibantu.

“Kita akan bekerjasama dengan KPM dalam menyalurkan peruntukan untuk membaiki semula sekolah dan pelajar dapat kembali beroperasi lebih cepat," katanya ketika ditemui selepas meninjau Skuad Ihsan Madani melakukan kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lengkuas di sini pada Sabtu.

Amir Hamzah berkata, pihaknya menghantar 120 ahli Skuad Ihsan Madani bagi membantu penduduk dan sekolah yang terkesan dengan musibah banjir sekitar daerah ini.

“Skuad ini terdiri daripada tenaga kerja dari MOF, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), CIMB Bank dan GLC (badan bukan kerajaan) Demi Rakyat dan Negara (GDRN) untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan di SK Lengkuas, SK Suka Menanti, SK Seri Amar Diraja dan Klinik Desa Sungai Baru,” katanya.

Menurutnya, program tersebut merupakan inisiatif MOF sebagai tanda kebersamaan kementerian itu dengan komuniti yang diuji dengan musibah.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga bertujuan menyemarakkan semangat tolong-menolong antara agensi kerajaan, syarikat swasta dan GLC untuk turut menyingsing lengan membantu mangsa terjejas banjir.

“Kita anjurkan program ini bagi membolehkan bantuan disampaikan segera dan secara langsung kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Amir Hamzah berkata, kerajaan juga sentiasa memastikan mangsa yang terkesan dengan bencana seperti banjir diberikan bantuan dengan segera tanpa karenah birokrasi supaya mereka dapat segera kembali kepada kehidupan harian mereka.

"Kita juga mahu kukuhkan semangat sebagai satu bangsa yang sentiasa prihatin dan tolong-menolong dengan individu dalam kesusahan, ibarat pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’," katanya.

Selain meninjau keadaan beberapa buah sekolah terlibat banjir, Amir Hamzah turut mengambil kesempatan meninjau kerja-kerja pemulihan banjir di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim serta melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Gunung dan PPS SK Sri Gunung.

Amir Hamzah berkata, MOF turut menyampaikan sumbangan permaidani kepada Masjid Suka Menanti dan Masjid Kariah Derang.

"Sebanyak 1,300 bantuan bakul makanan turut diberikan kepada mangsa banjir di PPS SK Gunung dan PPS SK Sri Gunung.

"Bantuan lain termasuk keperluan pembersihan diri, tilam, tikar, menggantikan peralatan rosak di masjid, jet air, but kalis air, sarung tangan dan topeng muka untuk kegunaan semasa kerja-kerja pembersihan," ujarnya.

Pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, sebanyak RM600 juta peruntukan disalurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai persiapan mendepani banjir termasuk lebih RM300 juta disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana.

Anwar berkata, sebanyak RM20 juta geran padanan pula disediakan segera kepada yayasan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan GLC untuk penyaluran bantuan kepada mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!